KUALA TERENGGANU – Seramai 80 pelajar telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat DUN Langkap, pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Langkap, Azmi Maarof berkata, kejayaan para pelajar yang memperoleh keputusan bermula daripada 6A ke atas ini adalah hasil usaha gigih yang wajar dibanggakan.
“Alhamdulillah, majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam akademik. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah,” katanya dalam laman sosialnya, semalam.
Dalam majlis sama, Anugerah Pelajar Paling Cemerlang DUN Langkap telah diberikan kepada Muhammad Muaz Naufal bin Kamaruddin, pelajar dari SM Imtiaz Setiu dan anak jati Kampung Rahmat, yang mencatat keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan SPM 2025.


Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu kejayaan luar biasa yang amat membanggakan bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada seluruh kawasan DUN Langkap.
Azmi turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan berterusan kepada anak-anak dalam mencapai kejayaan akademik.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh pada masa hadapan, serta menjadi motivasi untuk terus membalas jasa ibu bapa,” katanya lagi.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan pelajar serta menyuntik semangat generasi muda agar terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi dalam bidang akademik dan kehidupan.






























