KUALA NERUS – Pelan tindakan dilakukan oleh Badan Perhubungan PAS negeri, Teguh Memimpin Terengganu diyakini akan terus memacu keyakinan rakyat untuk terus memerintah Terengganu dengan mengekalkan kemenangan di semua kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 nanti.
Pesurujaya PAS II BPNT, Dato’ Dr Alias Razak berkata, TMT merupakan pelan strategik yang holistik dalan memastikan bukan sekadar kemenangan dapat dipertahan sebaliknya akan mampu mencapai majoriti yang lebih besar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta parlimen.
“Kita telah gubal (TMT) ini dengan begitu terperinci sehingga kepada aktiviti-aktivit di peringkat cawangan telah dirancang sebaik mungkin yang kita telah cadangkan bukan hanya untuk dilakukan di peringkat negeri dan kawasan sahaja.
“Bukan setakat itu PAS Negeri Terengganh akan turun ke kawasan untuk memberikan taklimat dari semasa ke semasa dan akan sentiasa memantau perkembangan.


“Alhamdulillah setakat ini ada DUN yang telah buat apa yang kita arahkan, kita juga ada DUN yang menjadi keutaamaan untuk kita fokuskan serta kita akan buat gerakan bersepadu yang turut melibatkan Menteri Besar Terengganu,”, ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas hadir mesrasmikan Mesyuarat Agung berkelompok DUN Seberang Takir, di Ar-Riyadh Residence, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata selain merangka pelan strategik TMT dalam memastikan kemenangan di negeri ini terus dipertahan, persiapan membabitkan kewangan turut dijadikan fokus utama.
“Persiapan kewangan di setiap DUN kita dimaklumkan telah ada simpanan tertentu walaupun tidak macam parti kerajaan belah sana, tetapi insya-Allah berpandukan pengalaman kita yakin segalanya akan berjalan sebagaimana dirancang termasuk akan dibantu ahli-ahli PAS itu sendiri, “, ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa gelombang rakyat menyokong PAS di negeri ini tidak pudar.
“Setakat ini kajian yang dibuat oleh Jabatan Pilihanraya Negeri Terengganu kita masih dapat sokongan padu yang akan memastikan kita bertahan dan tidak nampak tanda-tanda kemerosotan sokongan,” jelas beliau.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan PAS negeri turut merancang bagi mengadakan program himpunan bersakala besar menjelang PRU.
“Kita nak timbulkan persepsi keyakinan orang ramai tentang kekuatan parti kita dalam arena politik masa kini,” katanya.





























