DUNGUN – Tindakan Kerajaan Pusat merampas royalti minyak tidak menghalang Kerajaan Terengganu mengurangkan beban hutang secara signifikan yang telah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata ketika mula mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri menyedari kedudukan kewangan yang mencabar dengan jumlah hutang mencecah kira-kira RM907 juta.
“Namun, keadaan tersebut tidak dijadikan alasan untuk mengeluh, sebaliknya dijadikan asas untuk merangka pelan pengurusan kewangan yang lebih tersusun dan berdisiplin, melalui perancangan yang teliti serta usaha meningkatkan hasil negeri,
“kerajaan negeri berjaya mengurangkan hutang tersebut kepada hanya sekitar RM138 juta, sekali gus mencatatkan pembayaran balik melebihi RM700 juta dalam tempoh pentadbiran , walaupun kerajaan Pusat ambil duit kita, kita masih berjaya membayar hutang, ” katanya sinis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian ketika berucap di Ceramah Isu Semasa di Perkarangan Surau Ashabul Kahfi di sini pada 24 April.


Sebaliknya, ujarnya, di peringkat Persekutuan, situasi berbeza apabila jumlah hutang negara dilihat terus meningkat.
“Daripada sekitar RM1.1 trilion, ia kini dilaporkan mencecah hampir RM1.3 trilion dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Apa yang menimbulkan kekeliruan adalah apabila di Parlimen menyebut hutang “dikurangkan”, sedangkan yang dimaksudkan sebenarnya adalah pengurangan jumlah pinjaman baharu setiap tahun, bukan pengurangan jumlah keseluruhan hutang.
“Sebagai contoh, jika sebelum ini kerajaan menambah hutang sekitar RM100 bilion setahun dan kini berkurang kepada RM80 bilion, ia tetap menunjukkan peningkatan hutang, cuma pada kadar yang lebih perlahan, ” jelasnya lagi
Katanya, perbandingan dengan kejayaan pengurusan hutang di peringkat negeri menunjukkan bahawa komitmen dan perancangan yang teliti mampu menghasilkan perubahan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran dalam mengurus ekonomi negara.





























