PM Perlu Lebih Terbuka, Fokus Solusi Tangani Beban Rakyat

41

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri sepatutnya bersikap lebih terbuka terhadap kritikan rakyat dan tidak terlalu sensitif terhadap teguran yang disuarakan.

Ahli Jawatan kuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Amzad Hashim berkata, kenyataan yang dibangkitkan rakyat ketika ini adalah berdasarkan perkara yang pernah disebut sendiri oleh Perdana Menteri sebelum ini, malah diulang berkali-kali ketika belum memegang jawatan tersebut.

“Sepatutnya beliau berlapang dadalah, terbuka dengan apa ni pandangan rakyat. Sebab apa yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini, dia bukan sebut sekali, dia sebut berkali-kali.

“Jadi sudah tentulah apa ni tidak… tidak kena pada tempatnya masa kita tak jadi Perdana Menteri, kita guna hujah tu, tiba-tiba bila kita jadi Perdana Menteri, kita pertikai pula bila rakyat apa ni menegur dengan cara yang sama. Saya rasa Perdana Menteri perlu menunjukkan sikap yang tenanglah, dan menjawab dengan berhemah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, semalam.

Menurut Amzad, Perdana Menteri juga perlu menunjukkan ketenangan dan menjawab isu dengan berhemah, selain mengelakkan reaksi yang boleh disalah tafsir sebagai terlalu sensitif.

Mengulas isu penahanan rakyat di bawah Akta Hasutan, Amzad berpendapat kerajaan seharusnya lebih menghormati prinsip kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.

“Kalau sekadar menyuarakan pandangan dan rasa hati, itu sepatutnya diraikan. Kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan dan perlu dihormati,” ujarnya.

Beliau turut membandingkan pendekatan semasa dengan era pentadbiran terdahulu yang menurutnya lebih terbuka menerima kritikan rakyat tanpa mengambil tindakan keras.

Dalam masa sama, Amzad menegaskan rakyat kini lebih menuntut penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, termasuk kenaikan harga minyak yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.

“Rakyat mahu melihat solusi daripada kerajaan supaya mereka tidak terlalu terkesan dengan tindakan drastik, antaranya melibatkan harga minyak yang meningkat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan maklumat yang disalurkan adalah tepat bagi mengelakkan penurunan kredibiliti dan kepercayaan rakyat.

“Jika kenyataan yang dikeluarkan tidak tepat atau bercanggah, ia boleh menjejaskan kewibawaan Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Tambahnya, rakyat kini semakin kritikal dan reaksi di media sosial menunjukkan tahap kepercayaan yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Jadi rakyat mengharapkan sebenarnya Perdana Menteri memberikan apa ni solusi yang benar-benar sampai kepada rakyat di dalam meringankan beban dihadapi oleh rakyat sekarang ni.

“Diesel walaupun turun sikit tapi masih terlalu membebankan rakyat pada hari ini,” ujarnya.