KUALA NERUS – Konsep “Rumah Bangsa” tidak seharusnya disalah tafsir sebagai platform untuk menyertai Umno, sebaliknya ia perlu difahami dalam konteks penyatuan ummah.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato Sri Shahidan Kassim menegaskan bahawa gagasan tersebut pada asalnya bertujuan menyatukan parti-parti Melayu dan umat Islam, bukan menjadi saluran untuk mana-mana pihak kembali ke Umno.
Menurutnya, kehadiran Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam mesyuarat berkaitan membuktikan bahawa perbincangan itu berteraskan usaha penyatuan ummah, bukannya agenda politik sempit.
“Kalau penyata ummah saya sokong. Kalau rumah bangsa nak masuk Umno itu hak kamu.


“Saya ahli PAS seumur hidup. Inilah parti dan kehidupan saya.
Rumah bangsa penyatu rumah bukan masuk Umno. Masuk Umno ikut perlembagaan Umno, tiba-tiba di salah ertikan rumah
bangsa, tak betul,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.
Shahidan turut menyindir pihak tertentu yang keluar parti dan kembali menyokong Umno, malah mengkritik sikap mereka dilihat mudah melupakan asal-usul perjuangan.


Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang menggunakan isu tersebut sebagai strategi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Mungkin mereka nak bertanding pilihan raya.
“Rumah Bangsa ialah penyatuan ummah, bukan pintu masuk Umno,” tegasnya.





























