Rumah Terbuka PAS Kawasan Kemaman Disambut Meriah

350

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Kemaman bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Setiausaha PAS Kawasan Kemaman, YB Mohd Hafiz Adam berkata majlis pada tahun ini berjalan dengan lancar serta mencapai sasaran kehadiran yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Alhamdulillah, kira-kira 12,000 pengunjung hadir pada jamuan raya kali ini dan program berlangsung dengan sempurna hasil kerjasama erat daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut hari ini.

YB Mohd Hafiz Adam bergambar bersama para tetamu

Menurut beliau, masyarakat sekitar Kemaman mula hadir seawal jam 10 pagi dan kehadiran berterusan sehingga jam 2 petang.

Para tetamu bukan sahaja menikmati pelbagai juadah tradisional, malah majlis turut diselangi dengan pembahagian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menambah suasana ceria dan meriah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta serta syarikat milik kerajaan negeri yang hadir memeriahkan majlis tersebut, selain membantu melancarkan perjalanan program.

“Kami mengharapkan program seperti ini mendapat keberkatan Ilahi dan hubungan antara rakyat dengan pimpinan dapat terus diperkukuh.

Insya-Allah, kerajaan yang ada pada hari ini akan terus mendapat kepercayaan serta sokongan masyarakat pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Majlis yang diadakan di Kemaman Arena Square tersebut juga diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid Cahaya Hati yang mendendangkan beberapa buah lagu bagi menghiburkan para pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana Aidilfitri yang penuh harmoni dan ukhuwah.

Program tahunan ini dilihat sebagai platform penting dalam mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat di daerah Kemaman.