Oleh ; Nor Amira Amijudin
BESUT – Program Semarak Kasih Ramadan anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) melalui Lajnah Kebajikan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB) berjaya dilaksanakan di seluruh kawasan di Terengganu, sebagai inisiatif menyantuni masyarakat sempena Ramadan yang mulia.
Katanya, Lajnah Kebajikan DMPKB berjaya menyediakan sebanyak 100 bekas gulai ayam untuk diagihkan kepada penduduk mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Ketua Lajnah Kebajikan DMPKB, Rosimah Salleh berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan membantu masyarakat, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli serta penduduk setempat.
“Semoga pada tahun yang seterusnya dapat diteruskan lagi supaya kita lebih dekat dengan masyarakat serta mempertingkatkan lagi amalan gotong-royong memasak sebegini,” ujarnya ketika ditemui pihak media, semalam.


Menurut beliau, aktiviti seperti ini mencerminkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan, di samping menyemarakkan budaya berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Tambahnya lagi, program Semarak Kasih Ramadan antara usaha berterusan dalam memperkasa peranan wanita dan organisasi kebajikan dalam mendepani cabaran sosial, khususnya dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
“Semoga Ramadan yang diberkati ini terus menyemai rasa syukur dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Ramadan diberkati, rezeki dikongsi,” tambah Rosimah lagi.
Katanya, penyediaan juadah tersebut dilaksanakan secara gotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dalam suasana harmoni dan penuh semangat kebersamaan.





























