Anak Muda Sambut Baik Pelantikan Dr. Sam Sebagai Pengerusi Baharu PN

374

KUALA TERENGGANU – Golongan anak muda menyambut baik pelantikan Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional, dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kepimpinan gabungan berkenaan di peringkat nasional.

Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan beliau yang berintegriti, berwibawa dan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, sebagai Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), beliau berperanan penting dalam memperkukuh struktur organisasi dan menyusun strategi politik secara tersusun serta berfokus.

“Dr Sam dikenali sebagai pemimpin teknokrat dengan pendekatan progresif, berteraskan tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.

Sepanjang menerajui Terengganu, beliau menekankan kestabilan politik sebagai asas kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kepimpinan tersebut juga diyakini mampu mewakili suara anak muda, khususnya dalam memperjuangkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, ekonomi digital, keusahawanan belia dan pembangunan bakat tempatan.

Katanya lagi, komitmen untuk memperluas penglibatan generasi muda dalam proses pembuatan dasar dan kepimpinan politik masa depan merupakan isyarat jelas bahawa pembaharuan kepimpinan sedang digerakkan secara tersusun.

“Pendekatan inklusif, mesra rakyat dan berpaksikan data menjadikan beliau relevan dalam landskap politik semasa yang menuntut idea segar serta penyelesaian praktikal,” ujarnya.

Beliau menambah, pelantikan itu turut dilihat sebagai usaha memperkukuh perpaduan dalam gabungan serta memperkemas strategi menghadapi cabaran politik nasional.

“Sekali gus membawa naratif politik yang lebih matang, berprinsip dan berorientasikan penyelesaian,” tambah beliau.

Justeru itu, diharapkan kepimpinan beliau akan terus memperkukuh kestabilan, meningkatkan keyakinan rakyat dan memacu agenda pembangunan negara yang inklusif dan mampan.