Kompleks Bukit Besi Sejahtera Nadi Baharu Pentadbiran Dan Komuniti*

244

DUNGUN – Pembinaan Kompleks Bukit Besi Sejahtera dilihat bakal menjadi nadi baharu dalam memperkasa sistem pentadbiran serta memudahkan urusan komuniti setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata, projek pembangunan tersebut merupakan manifestasi kesatuan hati dan usaha kolektif pelbagai pihak bagi menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Menurut beliau, walaupun inisiatif ini bermula dengan langkah sederhana, ia mempunyai visi besar untuk berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelaksanaan program-program kemasyarakatan, pusat pendidikan (tarbiah), serta operasi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi.

“Pembangunan ini diharap dapat menyatukan aspek perkhidmatan, kebajikan dan pembangunan ummah di bawah satu bumbung. Ia bukan sekadar bangunan fizikal, tetapi bakal menjadi medan yang memudahkan urusan harian penduduk serta penganjuran program berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Bukit Besi Sejahtera di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman.

Mengulas lanjut, Dato’ Husain memaklumkan bahawa realisasi projek ini adalah hasil sumbangan ikhlas dan komitmen jemaah DUN Bukit Besi serta orang ramai. Kerjasama erat ini mencerminkan kekuatan kebersamaan masyarakat dalam membangunkan fasiliti yang bakal memayungi kebajikan penduduk setempat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang terlibat dan berharap agar kompleks ini menjadi lambang kesejahteraan serta keharmonian masyarakat Bukit Besi apabila siap sepenuhnya kelak.