KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) menegaskan bahawa amalan rasuah merupakan barah besar yang merosakkan amanah negara dan mengancam masa depan generasi akan datang.
Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan perbahasan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat yang mengangkat isu rasuah berpunca daripada kegagalan pembangunan insan, kelemahan undang-undang dan kepimpinan yang tidak berintegriti.
Katanya, rasuah bukan sekadar isu pentadbiran atau politik, sebaliknya ancaman serius terhadap kestabilan negara, kesejahteraan rakyat serta kelangsungan pembangunan apabila kebocoran kewangan berlaku dan rakyat menjadi mangsa paling terkesan.
“Amalan rasuah yang berleluasa akan merosakkan institusi negara, melumpuhkan sistem perkhidmatan awam.
“Dan akhirnya menjejaskan hak rakyat, khususnya wanita dan anak-anak generasi kita yang menanggung kesan jangka panjang akibat kegagalan tadbir urus hari ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, rasuah berpunca daripada kegagalan menyeluruh meliputi kelemahan pembinaan insan beriman dan berintegriti, penguatkuasaan undang-undang yang tidak adil serta kepimpinan yang gagal menjadi teladan kepada rakyat.
Sehubungan itu, Zarani menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh dilakukan secara terpilih atau bermotifkan kepentingan politik, sebaliknya mesti dilaksanakan secara tegas, adil dan berteraskan amanah.
Justeru itu, beliau turut menyeru semua pihak agar kembali kepada asas kepimpinan berintegriti, memperkukuh pembangunan insan dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan tanpa pilih kasih demi menjamin masa depan negara yang bersih, stabil dan bermaruah.
“Rasuah tidak boleh dinormalisasikan. Amanah negara wajib dipertahankan,” tegas beliau.





























