Usahawan Biskut Raya Terima Manfaat Skim DUTE 2025

118

KEMASIK – Seorang usahawan biskut raya tempatan, Siti Norashikin Mohd Tamizi, pengusaha Ma Kasih Cookies, menerima bantuan peralatan melalui Skim Dana Usahawan Terengganu 2025 (DUTE) di bawah inisiatif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Beliau yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah di Kampung Rumah Murah Kemasik, belakang Mesra Mall, mengakui bantuan yang diterima amat bermakna terutama dalam menghadapi tempahan tinggi setiap kali musim Ramadan dan Aidilfitri.

“Alhamdulillah, ini tahun ke-13 saya mengusahakan doh dan kuih raya, dan tahun ketiga menerima sokongan serta bantuan melalui YB dan pihak berkaitan,

“Selama ini semua dibuat secara manual untuk siapkan beratus-ratus bekas tempahan seperti dahlia, tart nenas dan semperit,” katanya.

Siti Norashikin yang ditemui sewaktu kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili ke rumahnya untuk menyampaikan mesin pembuatan biskut raya pada 27 Januari di sini.

Menurut beliau, penerimaan mesin pembuatan biskut raya melalui Skim anjuran Kerajaan PAS Terengganu itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah mempercepatkan proses menyiapkan tempahan.

“Mungkin saya antara yang terawal di DUN Kemasik memiliki mesin ini. Ia sangat membantu, memudahkan kerja dan meningkatkan keupayaan pengeluaran. Dengan cara ini, saya dapat terus mengekalkan harga yang mampu dinikmati oleh semua golongan,” jelasnya.