Kerajaan Perlu Kaji Semula Cadangan Murid Enam Tahun Masuk Darjah Satu

160

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula cadangan kemasukan murid berumur enam tahun ke Darjah Satu susulan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang diumumkan baru-baru ini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Hamdi Harun berkata, walaupun cadangan itu dinyatakan sebagai tidak wajib, ia tetap memberi implikasi besar terhadap hala tuju pendidikan awal negara serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Menurut beliau, sistem pendidikan negara ketika ini masih berdepan pelbagai isu asas termasuk kekurangan guru, kesesakan bilik darjah, beban tugas pendidik serta kemudahan sekolah yang tidak kondusif, khususnya di kawasan luar bandar.

“Penambahan kemasukan murid pada usia lebih muda tanpa kesiapsiagaan menyeluruh hanya akan menambah tekanan kepada sistem persekolahan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas perbandingan dengan negara-negara maju yang melaksanakan kemasukan awal ke pendidikan formal, beliau berpandangan pendekatan tersebut tidak boleh dibuat secara terpisah daripada konteks tempatan.

Jelasnya, negara-negara berkenaan memiliki ekosistem pendidikan yang lebih stabil dan menyeluruh, sedangkan Malaysia masih berdepan ketidaksamarataan dari segi kemudahan dan kualiti pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Dari sudut perkembangan kanak-kanak pula, beliau menegaskan usia enam tahun merupakan fasa sensitif yang memerlukan pendekatan pembelajaran lebih fleksibel dan berperingkat, selaras dengan tahap perkembangan emosi dan psikologi kanak-kanak.

Katanya, pendedahan terlalu awal kepada pembelajaran formal berstruktur berisiko menjejaskan keyakinan diri serta minat anak-anak terhadap proses pembelajaran, selain memberi tekanan psikologi kepada ibu bapa.

Sehubungan itu, DPPNT mendesak kerajaan Persekutuan supaya menangguhkan pelaksanaan cadangan berkenaan dan membentangkan pelan perancangan yang lebih telus serta berpaksikan data.

Pada masa sama, beliau menekankan keperluan untuk menyelesaikan isu teras pendidikan negara terlebih dahulu sebelum memperkenalkan dasar baharu yang berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap masa depan generasi akan datang.