Angkat Ubi Vitato Sebagai Produk Pertanian Wanita

201

KUALA TERENGGANU – Lajnah Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LPK MASPI) Terengganu menjadikan ubi vitato sebagai produk pertanian utama bagi memperkasa ekonomi wanita Muslimat di negeri ini, sekali gus menyokong keterjaminan makanan dan kelestarian alam.

Ketuanya, Rohani Awang berkata, ubi vitato dipilih kerana ia merupakan produk usahawan Muslimat tempatan yang berpotensi tinggi dan telah berjaya menembusi pasaran luar, termasuk dijual di Cameron Highlands.

Katanya, MASPI negeri akan mengarahkan semua kawasan mengadakan demonstrasi masakan berasaskan ubi vitato bagi memperkenalkan kepelbagaian menu dan membuka peluang ekonomi kepada suri rumah serta wanita.

“Visi MASPI ialah memimpin wanita Muslimat dalam pertanian, kelestarian alam dan keterjaminan makanan berlandaskan syariat.

“Kita mahu lahirkan produk Muslim, usahawan Muslim dan makanan yang patuh syariah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini mengulas mengenai program Demo masakan Ubi Vitato MASPI Setiu di Balai Raya Kg Bari Setiu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Setiu, Wan Ramlah Wan Abdul Rahman berkata, program seumpama itu wajar diperluaskan ke semua DUN bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita dan pemilik ladang, bukan sekadar pengeluar produk hiliran.

“Program ini diharap dapat menjana pendapatan tanpa hanya bergantung kepada golongan lelaki, sebaliknya Muslimat perlu memainkan peranan aktif agar lebih banyak ladang penanaman ubi dapat diwujudkan.

Justeru itu, beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan, termasuk inisiatif ubi vitato dan Seraga Hijau.

Beliau menegaskan pendekatan kebajikan dan ekonomi rakyat adalah kunci untuk mendekati masyarakat serta mengekalkan kepercayaan mereka secara berterusan.

“Program kebajikan amat dititikberatkan kerana kebajikan rakyat dapat dilihat dan dirasai secara langsung, sekali gus membina kepercayaan yang tulen, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” tambah beliau.