PAS Terengganu Ucap Takziah Pemergian Pelajar UniSZA Terlibat Kemalangan

259

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu merakamkan ucapan takziah atas pemergian seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarhamah Syakirah Hanan binti Mazli, yang meninggal dunia akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat JPJ semalam.

Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau menerima berita dukacita tersebut dengan penuh rasa sedih dan simpati terhadap seluruh ahli keluarga Almarhumah.

“Mewakili PAS Terengganu, saya mengucapkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Syakirah Hanan Mazli, pelajar UniSZA yang telah kembali ke rahmatullah hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pemergian rwah bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut menyentuh hati masyarakat setempat yang mengenali peribadi Allahyarhamah.

Setiausaha PAS Terengganu Dato’ Ustaz Wan Sukairi, memeluk bapa Allahyarhamah, berkongsi duka seorang ayah

“Semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

“Didoakan agar semua ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran ramai jemaah yang menunaikan solat jenazah serta mengiringi pemergian Allahyarhamah di Masjid Ibadurrahman, Kuala Bekah pada malam ini menjadi saksi kepada kasih dan kebaikan yang pernah dititipkan sepanjang hayatnya.

“Sesungguhnya, di setiap ujian itu terselit hikmah, meskipun tidak selalu mampu kita mengerti.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan Allahyarhamah dan menempatkannya dalam rahmat-Nya,” katanya lagi.

Allahyarhamah Syakirah Hanan yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.55 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Viva yang dipandu mangsa datang dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil sebelum berhenti di lampu isyarat dan mula bergerak membelok ke kanan selepas lampu bertukar hijau.