KUALA TERENGGANU — Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan oleh PAS Terengganu melalui pelbagai usaha membantu masyarakat, termasuk pemberian bantuan awal persekolahan kepada golongan yang memerlukan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu, YB Zuraida Md Noor berkata, pendekatan negeri berkebajikan menekankan bahawa tanggungjawab membantu rakyat bukan terletak pada kerajaan semata-mata, tetapi turut melibatkan peranan aktif masyarakat.
“Rakyat perlu memahami bahawa Terengganu bukanlah sebuah ‘negeri kebajikan’ di mana segala keperluan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Sebaliknya sebuah negeri ‘berkebajikan’ yang menuntut penglibatan aktif masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.


“Kita kena ubah minda dan persepsi masyarakat kerajaan bantu rakyat, rakyat bantu kerajaan,” jelasn ADUN Ladang itu ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, kesedaran masyarakat terhadap keadaan jiran sekeliling juga perlu diperkukuhkan.
“Jika ada orang susah, adakah kita hanya mengharapkan kerajaan menyelesaikannya? Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Oleh itu katanya, seramai 300 pelajar terpilih di DUN Ladang menerima sumbangan set lengkap pakaian sekolah sebagai persediaan awal sebelum sesi persekolahan baharu bermula.


“Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang dengan kerjasama Pasaraya Sakan, melibatkan pemberian satu set lengkap sekolah yang merangkumi beg sekolah, kasut, dan pakaian seragam baharu.
“Semoga sedikit bantuan ini memberi semangat baru buat anak-anak kita memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan ceria,” kata Zuraida.
Justeru bagi pelajar sekolah menengah, beliau memaklumkan bahawa pengagihan akan dilakukan secara rumah ke rumah “door-to-door”.
“Kak Da dan petugas PKM akan turun sendiri menghantar dari rumah ke rumah agar tiada yang tercicir dalam bantuan ini,” tambahnya.


Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan semua anak daripada keluarga memerlukan tidak terpinggir.
“Insya-Allah, kita ingin pastikan setiap anak yang layak daripada keluarga memerlukan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap usaha kecil itu menjadi dorongan kepada kejayaan anak-anak pada masa hadapan.
“Semoga segala usaha kecil ini menjadi sebab terbukanya jalan rezeki dan kejayaan untuk mereka pada masa depan,” tambah beliau.





























