Perdamaian Topeng Koyak

91

Sidang Kemuncak Keamanan Gaza yang menghimpunkan negara Islam dan Arab bersama Donald Trump dan negara Blok Barat terdedah dengan nyata sekadar menjadi topeng kecil yang koyak, sekali gus mendedahkan penipuan besar dan terbuka oleh syaitan akbar bernama Donald Trump terhadap masyarakat antarabangsa yang bijaksana.

Hanya yang tidak bijaksana terus bertepuk tangan memberikan semangat bagi mengaburi mata seluruh dunia yang ditipu dengan bodoh dan terbuka kebodohannya, laksana burung unta yang menyembunyikan diri sekadar menimbus kepala kecil ke dalam tanah, sedangkan badannya yang besar dilihat dengan terbuka.

Beberapa jam yang sedikit sebelum menerima penyembahan para pemimpin menghadap Trump di Sharm el-Sheikh, Mesir, Knesset (Parlimen Israel) yang bersidang turut mendengar kenyataan terbuka daripada Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang angkuh. Dengan tegas dan penuh semangat, dibuat kenyataan bahawa Amerika Syarikat dan negara sekutunya tetap teguh bersama Israel, rebah dan bangun demi keamanan dan keselamatannya, serta bersedia membantu dengan segala jenis persenjataan tanpa sempadan undang-undang dan kemanusiaan, termasuk senjata pemusnah yang paling dahsyat.

Donald Trump memperkenalkan agama baharu bernama Abraham (jenama Nabi Ibrahim AS) bersempena dengan semua penganut agama Islam, Kristian, Yahudi, dan Musyrikin bersalasilahkan Nabi Ibrahim AS bagi mewujudkan perdamaian yang dicadangkan, walaupun al-Quran menegaskan firman Allah SWT yang sebenar:

مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang Islam yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang Musyrikin.” [Surah Ali ‘Imran: 67]

Namun, ada segelintir negara Islam yang menganutnya, ada yang melakukan normalisasi dengan Israel secara terbuka, dan ada juga yang melalui pintu belakang.

Antara isi kandungan cadangan damai tersebut ialah melucutkan senjata Hamas dan kumpulan yang bersamanya serta mereka dikeluarkan dari Gaza atau dibubarkan. Gaza pula ditadbir oleh negara yang diterima oleh Israel atau boneka yang dikawal oleh negara sekutu.

Kalau begitu sifatnya, apakah erti kehadiran para pemimpin negara Arab dan Islam bagi mendengar perbualan kosong Donald Trump yang menggoreng mereka semua sehingga terbakar menjadi arang, tanpa maruah dan aqidah persaudaraan yang dianut oleh umat Islam seluruh dunia?

Adakah para pemimpin itu memisahkan diri mereka daripada rakyat demi takhta dan harta?

Ucapan di Knesset mendapat tepukan gemuruh daripada ahli parlimen Zionis, khususnya kalangan pelampau yang meneriakkan slogan perjuangan Negara Agung Israel (The Greater Israel) dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq, serta dari Laut Tengah (Mediterranean) ke Laut Merah di selatan. Negara besar itu berpusat di Jerusalem (Bait al-Maqdis), termasuk beberapa negara Arab dihapuskan daripada peta Asia Barat. Apa yang dinamakan ‘penyelesaian dua negara’ (two-state solution) tidak ada dalam peta Israel.

Adakah dianggap pendamai oleh pihak yang nyata berpihak kepada musuh yang nyata pula melampaunya?

Ternyata dalam kandungan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Donald Trump kepada Hamas dan rakan-rakannya mensyaratkan senjata Palestin dilucutkan demi keamanan Israel. Adapun Israel diwajibkan bersenjata dan dibantu tanpa sempadan. Negara Arab dan Islam pula disyaratkan mengadakan normalisasi terhadap Israel.

Selain itu, Hamas dan rakan-rakannya diperintahkan agar dibubarkan kerana membahayakan keselamatan dan keamanan Israel serta perjuangannya, sehingga Hamas tidak dibenarkan menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berjenama Islam, malah kemenangannya secara demokrasi tidak diiktiraf oleh negara Barat yang menjunjung demokrasi dan juga diikut serta oleh kalangan negara Arab dan Islam.

Semua negara Islam dan Arab tidak dibenarkan berteknologi tinggi, khususnya dalam bidang persenjataan dengan jaminan keselamatan mereka dijaga oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, sambil dibayar oleh negara Arab dan Islam yang layak menjadi lembu susuan yang diberikan rumput dan air sahaja. Adapun susunya diperah kepada pihak yang mengurusnya.

Mana-mana negara Islam yang melawan, pasti akan dimusnahkan tanpa mengira mazhab dan ideologi seperti Afghanistan, Libya, Iraq, dan Iran. Para saintis Muslim pula dicari untuk dibeli atau dibunuh.

Allah SWT tidak mengizinkan tipu daya musuh Islam berlangsung dengan percuma melalui firman-Nya:

وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ ٤٧

“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar (perancangan tipu daya) yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) makar (tipu daya) mereka itu. Dan sesungguhnya, makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46) Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada para rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan yang gagah perkasa. (47)” [Surah Ibrahim: 46–47]

Mereka gagal mengalahkan para mujahidin yang berada di kawasan gunung-ganang di Afghanistan dan Yaman serta di celah runtuhan bangunan di Iraq, dan di terowong Gaza, walaupun dihujani senjata.

Allah menjanjikan bahawa cahaya Islam tidak mungkin dipadamkan dengan mudah. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci. (8) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]

Cahaya Islam gagal dipadamkan, walaupun umat serta tanah airnya dijajah dan dipecahkan selama beberapa abad, malah cahayanya terus menyinari seluruh penjuru dunia.

Musuh Islam berundur dengan hina dari Afghanistan, Somalia, dan Iraq, pernah gagal dalam sejarahnya di Sudan dan Yaman, dan terkini gagal dalam serangan terakhir terhadap Iran. Mereka juga gagal menghapuskan Hamas di Gaza, sehingga terpaksa menyelamatkan Israel dengan gencatan senjata yang masih dirancang dengan cara bodoh dan hina bagi menyelamatkan bala tentera Israel yang gagal menawan Gaza yang terlalu kecil, sehingga peperangan memakan masa lebih dua tahun. Gencatan senjata juga sekadar memenuhi desakan membebaskan tentera Israel yang ditawan oleh Hamas dan kumpulan Palestin.

Allah SWT mendedahkan kelemahan Zionis yang menjadi benteng hadapan bala tentera Ahzab (pasukan bersekutu) dengan firman-Nya:

لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤

“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali di dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok-tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedangkan hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” [Surah al-Hashr: 14]

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ مِن دِيَٰرِهِمۡ لِأَوَّلِ ٱلۡحَشۡرِۚ مَا ظَنَنتُمۡ أَن يَخۡرُجُواْۖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمۡ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنۡ حَيۡثُ لَمۡ يَحۡتَسِبُواْۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَـٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ ٢

“Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir antara Ahli Kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang Mukmin. Maka, ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai wawasan!” [Surah al-Hashr: 2]

Al-Quran menceritakan peristiwa al-Ahzab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW pasti akan berulang:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hati (kamu) naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9–12]

Peristiwa tersebut berulang bagi menunjukkan bahawa umat Islam, para pemimpin, dan kerajaannya diuji oleh Allah pada sepanjang zaman bagi membezakan antara mereka yang benar-benar beriman dengan munafiq.

Perkara ini juga sedikit pun tidak menggoncangkan umat Islam yang masih beriman, walaupun menghadapi himpunan bala tentera bersekutu yang berselerak pangkalan tentera mereka yang berkeliaran di negara-negara yang menerima kedatangan mereka, di samping armada mereka yang berada di semua lautan datang mengepung dan membawa senjata yang dibekalkan bertali arus kepada Israel melalui jambatan udara dan laut.

Umat Islam akan menghadapinya laksana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT dalam peristiwa Ahzab yang mengepung Madinah pada zaman Rasulullah SAW:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّـٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٤ وَرَدَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِغَيۡظِهِمۡ لَمۡ يَنَالُواْ خَيۡرٗاۚ وَكَفَى ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلۡقِتَالَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ قَوِيًّا عَزِيزٗا ٢٥

“Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali keimanan dan ketundukan. (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa-apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka, antara mereka ada yang gugur dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu, dan mereka tidak mengubah (janji mereka). (23) Supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenaran mereka, dan menyeksa orang munafiq jika dikehendaki-Nya atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (24) Dan Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperoleh keuntungan apa-apa pun. Dan Allah menghindarkan orang-orang Mukmin daripada peperangan. Dan Allah adalah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (25)” [Surah al-Ahzab: 22–25]

Begitulah kenyataan al-Quran, kitab mukjizat yang berkekalan dan pasti berulang cerita dan penutupnya yang tidak mampu ditasawurkan oleh pengamat politik dan ketenteraan. Segalanya berakhir dengan kejatuhan semua kuasa besar dunia yang mencabar Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Gagah Perkasa. Dia memerintahkan orang-orang yang beriman agar bangkit menentang musuh mereka bagi menyelamatkan saudara-saudara mereka yang ditindas dengan zalim:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, serta berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]

Percayalah, bahawa para pemimpin yang bacul melutut dan menyembah syaitan besar Donald Trump yang menggoda dengan slogan agama Abraham serta menolak undang-undang antarabangsa dan sifat kemanusiaan, akan disapu bersih oleh kebangkitan rakyat yang masih beriman!

Sebaliknya, cahaya Islam akan menembusi masyarakat bukan Islam di negara-negara bukan Islam, termasuk ke dalam Israel dan negara sekutu Israel apabila mereka menyaksikan Islam sebenarnya berlaku adil dan berperikemanusiaan, termasuk terhadap musuh yang sangat berbeza dengan kumpulan Zionis yang paling dimurkai Allah. Firman Allah SWT:

… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Tunggulah balasan Allah daripada bala tentera-Nya yang tidak mungkin dapat dikalahkan. Maka, mereka yang bernaung bawah musuh-Nya juga pasti menerima hukuman yang sama.

Firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139) Dan sungguh, Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang munafiq dan orang kafir di dalam Jahannam. (140)” [Surah al-Nisa’: 138–140]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Jumada al-Ula 1447 / 28 Oktober 2025

[Bil: 75 / 2025]