Pemuda Setiu Kecam Menteri Hadir Majlis Hidangan Arak

108

SETIU – Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu mengecam tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang didakwa menghadiri majlis makan malam rasmi kerajaan yang dihidangkan arak secara terbuka sempena pelancaran Global Travel Meet baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemudanya, Haji Muhammad Baihaqiey Ahmad berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beradab dan tidak bermoral, malah ia merupakan satu penghinaan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Tegasnya, ia juga mencerminkan sikap tidak sensitif terhadap sentimen umat Islam di negara ini, khususnya apabila ia melibatkan seorang menteri kabinet yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu melihat insiden ini sebagai gambaran jelas kegagalan kepimpinan Kerajaan Madani dalam menjaga maruah Islam dan nilai moral pentadbiran negara.

“Jika acara rasmi kerajaan pun dicemari dengan arak, maka amat wajar untuk rakyat mempertikaikan arah dan wajah sebenar pentadbiran negara pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, perbuatan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej negara di mata rakyat, malah membuka ruang normalisasi terhadap perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya Malaysia.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu mendesak Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut.

“Perdana Menteri juga perlu menyatakan pendirian yang tegas dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang menteri yang telah mencemar nama baik kerajaan sendiri.

“Sikap berdiam diri hanya akan memberi gambaran seolah-olah kerajaan merestui perbuatan yang mencemarkan maruah negara dan agama,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa arak bukan budaya Malaysia dan tidak wajar dijadikan simbol kemajuan atau sambutan dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.

“Tindakan sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan prinsip dan maruah Islam yang wajib dipertahankan. Cukup-cukuplah mempermainkan sensitiviti umat Islam,” ujarnya.