KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan bahawa Islam adalah satu-satunya sistem yang mampu menyelamatkan negara dan umat manusia seluruhnya, selepas terbukti kegagalan pelbagai ideologi dunia.
Yang Dipertua PAS kawasan Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sejarah telah membuktikan kegagalan sistem kapitalisme, feudalisme, sosialisme mahupun komunisme, termasuk contoh jelas perbezaan ketara antara Korea Selatan dan Korea Utara walaupun mereka berkongsi bangsa, bahasa dan budaya yang sama.
“Semua sistem dunia telah gagal. Islam sahaja belum dilaksanakan sepenuhnya.
Oleh itu, kita mesti kembali kepada Islam kerana ia merupakan satu-satunya penyelesaian,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.
Ustaz Wan Hassan turut mengingatkan tentang tanda-tanda kegagalan negara, antaranya apabila rakyat dibebani cukai berlebihan, undang-undang hanya menghukum golongan bawahan manakala elit terlepas, serta jawatan amanah diserahkan kepada individu yang tidak layak.
Katanya, pembangunan yang terlalu menekankan aspek fizikal juga akan meruntuhkan struktur masyarakat, agama dan budaya ketimuran.
“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi jika ia meruntuhkan struktur kemasyarakatan, nilai gotong-royong dan identiti bangsa, itu satu kerugian besar,” jelasnya.
Mengulas strategi parti, beliau berkata PAS akan mengadakan Liqa’ Fikri pada 20 September sebagai persediaan merangka halatuju untuk tempoh setahun setengah hingga dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Wan Hassan turut memberi peringatan bahawa perjuangan Islam bukan sahaja berdepan musuh nyata, malah musuh berpura-pura yang menggunakan label Islam untuk melemahkan gerakan Islam itu sendiri.
“Sayyid Qutb dalam Fi Zilalil Quran telah menyebut tentang golongan yang meletakkan label Islam, tetapi sebenarnya menyerang perjuangan Islam. Inilah cabaran yang kita hadapi kini,” katanya.