40 Pemuda Kemaman Siap Sedia Berkonvoi Ke Muktamar PAS

887

KUALA TERENGGANU, – Seramai 40 pemuda PAS Kawasan Kemaman siap sedia berkonvoi dengan motosikal masing-masing untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat yang akan berlangsung di Kedah bermula 13 hingga 16 September.

Ketua Kelab Motosikal Alternatif (ARC) Kawasan Kemaman, Wan Ahmad Wan Ahmad Sanusi (Gambar atas) berkata, konvoi tersebut bukan sahaja sebagai wasilah perjalanan ke lokasi muktamar, bahkan simbolik kepada semangat kebersamaan dalam kalangan anggotanya.

“Selain mengeratkan ukhuwah sesama ahli, konvoi ini juga memberi peluang untuk menikmati suasana perjalanan yang menarik sepanjang menuju ke negeri Kedah,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua peserta agar memastikan tahap kesihatan dan keadaan jentera masing-masing berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Ketika berkonvoi nanti, perkara paling penting adalah menjaga keselamatan, berdisiplin serta mematuhi undang-undang jalan raya.

“Jalan raya bukan medan perlumbaan, sebaliknya kita perlu sampai dengan selamat untuk mengikuti muktamar dan mendengar amanat pimpinan,” jelasnya.

Dalam hantaran iklan aktiviti tersebut di media sosial, ARC menegaskan “pemanduan bukan pasal kelajuan tetapi tentang kebersamaan”.

“Peserta diminta berkumpul di Lebuh Raya Pantai Timur ‘Exit’ Tol Chukai” sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, lokasi Muktamar diadakan.