KEMAMAN – Pasukan bola sepak veteran Kertih 5 (VK5 FC), muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Ir. Saiful Azmi yang berlangsung di Padang Awam Kertih di sini, pada 13 dan 14 April, semalam.
Sebanyak empat pasukan telah berentap di kejohanan anjuran PAS Dun Kemasik yang julung kali diadakan ini.
Timbalan Pengarah PAS Dun Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, kejohanan yang merebut piala sempena nama beliau itu lebih bertujuan mendekatkan golongan veteran itu dengan pimpinan PAS Dun Kemasik terutamanya menjelang pilihan raya umum pada 9 Mei nanti.
“Kita berjaya mengumpulkan ramai pemain bola sepak veteran dan ternyata mereka masih mampu mempamerkan kemahiran masing-masing setelah sekian lama ‘bersara’ dalam sukan berkenaan.
“Pertandingan ini lebih kepada kegiatan riadah yang membolehkan pemain-pemain veteran bertemu semula sekali gus mengembalikan nostalgia masing-masing ketika beraksi dalam sukan bola sepak ketika muda,” katanya ketika ditemui dalam kejohanan berkenaan.


Menurut Saiful Azmi, kebanyakan pemain veteran itu terdiri daripada penyokong PAS sejak dahulu lagi dan mereka masih mampu memainkan peranan meraih undi di kalangan keluarga masing-masing.
Katanya juga, kejohanan itu berlangsung meriah dengan kehadiran rakyat yang memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
“Pihak kita merancang untuk meneruskan pertandingan itu pada tahun depan melibatkan penyertaan lebih banyak pasukan khususnya penampilan pemain veteran yang menetap di Dun Kemasik.
“Meskipun hadiahnya kecil, pertandingan ini cukup bermakna kerana pemain-pemain veteran dapat berkumpul dan bertukar-tukar fikiran serta beramah mesra dalam suasana kekeluargaan bersama pimpinan PAS,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pasukan Seroja FC hanya mampu berpuas hati dengan gelaran naib juara setelah tewas 4 – 3 kepada VK5 FC. Manakala pasukan Otai Kertih FC menduduki tempat ketiga.
Hadiah-hadiah kejohanan disampaikan oleh YDP PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid dan Ir. Saiful Azmi Suhaili sendiri.





























