KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan yang disifatkan terlalu tergesa-gesa dalam usaha meluluskan Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (URA) tanpa menyelesaikan isu perumahan asas yang masih membelenggu rakyat.
Pengarah Jabatan Penerangan Polisi Dan Dasar Sektor Komunikasi Strategik DPPM, YB Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, jumlah unit rumah tidak terjual di seluruh negara, termasuk projek kos sederhana dan mewah, masih tinggi manakala golongan berpendapatan rendah terus berdepan dengan masalah keterjangkauan.
“Seharusnya KPKT memberi fokus menyelesaikan ketidak sepadanan antara penawaran dan keperluan sebenar rakyat sebelum mengusulkan undang-undang baharu yang penuh kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyentuh ketetapan URA yang hanya memerlukan persetujuan 75 peratus bagi kediaman melebihi 30 tahun dan 80 peratus bagi kediaman 15 tahun untuk pelaksanaan projek pembaharuan bandar.
“Ini bermakna suara 20 hingga 25 peratus penduduk boleh diketepikan, sekalipun mereka merupakan kumpulan yang paling terkesan seperti warga emas, orang kurang upaya atau keluarga miskin,” katanya.
Menurut beliau, RUU URA juga didakwa memberikan kuasa terlalu luas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, termasuk menentukan kawasan yang diisytihar sebagai zon pembaharuan dan mengarahkan pelaksanaan meskipun terdapat bantahan sebahagian besar penduduk.
“Keseluruhannya, RUU URA ini lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat biasa. Jika kerajaan benar-benar mahu memperbaharui bandar lama, ia perlu dilakukan melalui libat urus telus, pelan induk perumahan menyeluruh serta perlindungan kukuh terhadap hak pemilik asal,” jelasnya.