Ucapan Dasar Presiden; Jadikan Islam Piagam Kehidupan

59

KUALA TERENGGANU – PAS adalah satu parti sosio-politik yang menjadikan agama sebagai piagam kehidupan sebagaimana diarahkan oleh Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS pada 15 September lalu.

Oleh itu, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Zul Bhari A Rahman menegaskan, Islam itu adalah “deenuhayyah” yang memandu manusia mencapai kehidupan sejahtera dunia dan akhirat

“Sebagaimana Nabi Besar Muhammad SAW telah menyelamatkan masyarakat Mekah daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya kebenaran dan keadilan Islam.

“Islam bukan sahaja agama berbentuk ubudiyyah, bahkan merupakan piagam kehidupan yang wajib dilaksanakan dalam semua bidang termasuk ibadah, pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau menambah, amanah yang digalas hari ini menepati tuntutan suasana semasa apabila seluruh jentera jamaah diseru untuk kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian utama.

“Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan sebuah masyarakat yang makmur, berukhuwah dan memiliki jiwa yang sejahtera serta bersih.

“Sekali gus membuka jalan ke arah pembinaan Malaysia Sejahtera bersama Islam,” tambahnya.

Manakala YDP Hulu Terengganu, YB Ustaz Maliaman menyifatkan kehadiran Islam dalam kehidupan manusia telah mengubah tahap sosial daripada pentingkan diri sendiri kepada berkebajikan.

Justeru beliau berkata, tumpuan PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 16 adalah meningkatkan kerja kebajikan yang telah dilaksanakan oleh parti itu selama ini.

“Ucapan dasar Presiden PAS baru-baru ini jelas menekankan aspek kebajikan sebagai “senjata” penting untuk menarik sokongan masyarakat.

“Sebagai Exco Kebajikan negeri dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, kita akan memberi tumpuan lebih besar kepada isu kebajikan. Perancangan kita selama ini juga banyak menjurus kepada usaha kebajikan yang merentasi portfolio, kaum dan batas sempadan,” jelasnya.

Justeru itu, PAS akan terus memperkukuhkan agenda kebajikan rakyat agar parti ini sentiasa dekat di hati masyarakat