Oleh : Amirul Aizab Mohd
KUANTAN — Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menegaskan Islam menuntut keadilan yang bersifat sejagat serta menolak segala bentuk kezaliman dan penindasan yang dibawa oleh kuasa besar dunia.
Berucap dalam Program HOGOH Jelai H30K hari ini, beliau menegaskan bahawa dua tunjang utama yang mesti difahami oleh umat Islam ialah keadilan universal dan penolakan terhadap agenda antarabangsa yang zalim, yang kini dipimpin oleh Amerika Syarikat di bawah pengaruh Presiden Donald Trump yang beliau sifatkan sebagai “syaitan besar.”
Keadilan dan Amanah Tuntutan Asas IslamMenurut Tuan Guru Haji Hadi, keadilan dan amanah adalah asas utama dalam kepimpinan Islam. Beliau memetik firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan segala amanah kepada orang yang berhak menerimanya. Dan apabila kamu menghukum di antara manusia, hendaklah kamu berlaku adil.”(Surah an-Nisa’, ayat 58)
Katanya, Islam menuntut keadilan terhadap semua pihak tanpa mengira latar belakang, bahkan termasuk musuh sekalipun.
“Allah suruh kita adil kepada semua manusia, termasuk kepada musuh. Firman-Nya, ‘Jangan kerana marah atau bermusuh dengan sesuatu kaum, kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana itu lebih dekat kepada taqwa.’” jelas beliau.
Presiden PAS itu turut menyatakan kekesalan terhadap sikap tidak adil sesetengah pihak dalam urusan pentadbiran antara negeri, termasuk tindakan melengah-lengahkan projek pembangunan di negeri yang diperintah oleh parti lawan.
Beliau menegaskan bahawa PAS berpegang kepada pendekatan Nabi Muhammad SAW yang menyatukan umat Islam dengan bukan Islam yang boleh menerima keadilan Islam, seperti yang difirmankan dalam Surah al-Mumtahanah.


“PAS berpisah dengan Pakatan Rakyat (DAP) kerana perbezaan konsep. DAP membawa pendekatan yang menyeleweng, antaranya ingin melaksanakan ‘pilihan raya bandar’ bagi mengambil kuasa dan tanah orang Melayu — seperti yang telah berlaku di Singapura,” tegasnya.
Trump ‘Syaitan Besar’ dan Penolakan Agenda ZionisDalam isu antarabangsa, Tuan Guru Haji Hadi dengan tegas menyifatkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai “syaitan besar” kerana menjadi penyokong kuat rejim Zionis Israel yang menzalimi rakyat Palestin.
“Donald Trump ini siapa? Donald Trump ini syaitan besar. Yang menyokong Israel dalam perang di Gaza,” tegas beliau disambut sorakan ribuan hadirin.
Beliau turut mengecam sikap hipokrit Amerika Syarikat yang membekalkan senjata pemusnah kepada Israel, sedangkan kononnya mahu menjadi perantara perdamaian.
“Mereka mahu Hamas, Jihad Islami, Iran dan Hizbullah melucutkan senjata, tetapi senjata Israel tidak disentuh. Ini keadilan apa?” soal beliau.
Tuan Guru turut mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda baharu yang dibawa oleh Barat melalui fahaman “Ajaran Abraham” (Abrahamic Faith) yang cuba mencampur-adukkan agama dan memesongkan ajaran asal Nabi Ibrahim a.s.
Beliau memetik firman Allah SWT: “Ibrahim bukan seorang Yahudi, bukan seorang Nasrani, tetapi seorang yang lurus dan menyerah diri kepada Allah, dan bukanlah dia dari golongan orang musyrik.”(Surah Ali ‘Imran, ayat 67)
Program HOGOH Jelai H30K yang berlangsung dengan penuh semangat perjuangan itu menghimpunkan ribuan penyokong dan pimpinan PAS dari seluruh negeri, sebagai medan memperkukuh gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang





























