Saya merujuk kepada tindakan tegas Kerajaan Negeri melalui YB Dato’ Dr. Azman Ibrahim yang mengeluarkan notis larangan pencerobohan terhadap FELDA melibatkan ladang-ladang di Terengganu dengan keluasan dianggarkan lebih 15,000 hektar, berikutan kegagalan pihak tersebut memberi maklum balas terhadap surat peringatan terakhir yang telah dikeluarkan sebelum ini.
2. Tindakan ini bukan bersifat konfrontasi, sebaliknya berpunca daripada rekod perjanjian yang telah dipersetujui sejak sekian lama antara Kerajaan Negeri dengan FELDA, termasuk syarat pembayaran premium tanah, komitmen pentadbiran serta perkongsian keuntungan sebanyak 30 peratus daripada hasil ladang yang diusahakan di atas tanah milik negeri.
3. Hasil penelitian semula dokumen oleh Kerajaan Negeri mendapati terdapat komitmen kewangan yang tidak diselesaikan sepenuhnya oleh FELDA, mengakibatkan negeri kehilangan hasil yang sepatutnya kembali kepada rakyat Terengganu.
4. Berdasarkan rekod semakan tersebut, jumlah tuntutan kerajaan negeri kini dianggarkan mencecah sekitar RM600 juta, termasuk premium, tunggakan serta perkongsian keuntungan yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun.
5. Hakikat bahawa FELDA tidak memberikan sebarang maklum balas konkrit walaupun diberi ruang rundingan dan tempoh balas yang munasabah, menuntut kerajaan negeri mengambil langkah-langkah yang wajar dan sah bagi melindungi hak negeri.


6. Kerajaan Terengganu sentiasa menghormati peranan FELDA dalam membangunkan masyarakat peneroka, namun penghormatan itu tidak menghalang kerajaan negeri daripada mempertahankan tanah dan hasil negeri yang merupakan amanah kepada rakyat.
7. Tanah ini bukan milik individu atau mana-mana pihak berkepentingan, tetapi milik seluruh rakyat Terengganu yang berhak menikmati hasilnya dalam bentuk pembangunan, pendidikan, kebajikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.
8. Justeru, tindakan menuntut penyelarasan semula hak negeri hanyalah sebahagian daripada amanah urus tadbir yang mesti ditunaikan oleh Kerajaan Negeri.
9. Adalah menjadi kewajipan mana-mana kerajaan yang beramanah untuk memastikan setiap perjanjian dihormati dan setiap hak negeri dipertahankan dengan bermaruah.
10. Tindakan mempertahankan hak negeri adalah tindakan mempertahankan masa depan rakyat, dan dalam hal ini, Kerajaan Negeri Terengganu telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berprinsip.
YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
TIMBALAN PESRUHJAYA III PAS Terengganu
1 Disember, 20205/ 10 Jamadilakhir 1447H






























