Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) ‘bermandi peluh’ sebelum berjaya mengikat PKNS FC 1-1 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Beraksi di hadapan lebih 9,000 peminat setia, skuad Penyu bermula garang melalui percubaan pertama pemain import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit kelima, namun berjaya dinafikan pertahanan pelawat.
Turun tanpa Lee Tuck yang digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada aksi final Piala Malaysia musim lalu tidak menjejaskan corak permainan tuan rumah yang berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Khairul Izuan Rosli pada minit ke-11, bagaimanapun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Tuan rumah yang mendominasi permainan terus melancarkan serangan untuk memburu gol tapi peluang yang dimiliki kapten, Kipre Tchetche melalui sepakan leret pada minit ke-13 ditepis penjaga gol, begitu juga rembatan Thierry Chantha Bin pada minit ke-19 gagal menerjah jaring.
Pasukan Semut Merah yang lebih banyak bertahan mendapat peluang terbaik untuk memimpin perlawanan melalui tandukan Gabriel Guerra pada minit ke-33, tapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Wan Mohd Azraie Wan Teh.
Bersambung babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim memperoleh peluang pada minit ke-48 untuk membuka tirai jaringan sekali lagi menerusi Sanjar, namun penjaga gol lebih bijak menghalang percubaan pemain itu.
Ketika tuan rumah kerap mengasak kubu PKNS FC, pelawat yang mendapat sepakan sudut pada minit ke-65 berjaya memperoleh jaringan menerusi tandukan menarik Nicholas Ryan Swirad untuk pasukannya mendahului 1-0.
Pada minit ke-69 perlawanan terpaksa berhenti selama tiga minit selepas pemain tuan rumah dan pelawat ‘mencetuskan’ aksi panas tolak menolak susulan pemain PKNS, Chan Vathanaka mengasari Khairu Azrin Khazali.
Berikutan kekecohan itu memaksa ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal memasuki padang sebelum dileraikan beberapa pegawai pasukannya termasuk pegawai perlawanan.
Usaha berterusan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan berhasil apabila pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff bijak melepasi pertahanan pelawat sebelum merembat masuk gol pada minit ke-88 untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan – BH