TCFC Perlu Uruskan Pasukan Sendiri

1787

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menampung dan menguruskan lima pasukan bola sepak negeri iaitu TFC 1, TFC II, TFC III,TFC IV,dan TFC V.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, TCFC perlu menguruskan pasukannya sendiri bagi menamatkan masalah pembayaran gaji pemain yang tertunggak.

“Isu TCFC sebenarnya seperti yang kita semua tahu ianya adalah sebuah pasukan yang di luar daripada pengurusan kerajaan negeri.

“Kita di pihak kerajaan negeri mampu lakukan adalah memberikan kepada mereka nasihat agar menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera.

“Dan saya difahamkan juga bahawa isu yang paling utama dihadapi oleh bekas pemain TCFC ini adalah isu berkaitan dengan gajilah,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Hi Tea dan Pelancaran Gabunagn NGO Wanita di Permai Hotel semalam, 26 Januari.

Sehubungan itu kata beliau, berdasarkan pengalaman lalu, tidak kurang sebanyak RM20 juta diperlukan setahun untuk mentadbir lima pasukan bola sepak tersebut.

“Jadi sudah tentulah bila ada pasukan yang lain pula (TCFC) maka ia agak membebankan kewangan kerajaan negeri,” jelasnya.