TCCCI Turut Membantu Mangsa Banjir

371

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Terengganu Chinese Chamber of Commerce and Industry (TCCCI) atau Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu turut menyalurkan sumbangan melalui Pejabat Ahli Parlimen Kemaman kepada mereka yang terbeban akibat bencana banjir tempohari.

Naib Presidennya, Vincent Ng Thian Hock memuji sifat kesabaran yang ada pada mangsa banjir walaupun beberapa kali diuji dengan musibah banjir dalam tahun ini.

“Kami amat menyanjung ketabahan dan kesabaran tuan puan dalam menghadapi bencana yang menimpa kalian pada kali ini.

“Kami memahami walaupun diuji dengan kehilangan harta benda dan kerosakkan tempat tinggal bahkan mungkin kenangan yang berharga adalah amat sukar untuk dilalui.

“Namun ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Kami amat prihatin dan dengan semangat ‘Ganu Kite’, kami gabungan tiga Dewan Perniagaan Negeri Terengganu tidak berdiam diri.

“Dengan usaha yang kecil ini kami bergerak dan bersedia untuk turut membantu mereka yang ditimpa bencana samada dalam bentuk kebendaan dan sokongan moral,” ucapnya.

Vincent berucap di hadapan seramai 694 Ketua Isi Rumah di Kampung Telok Kalong sempena Majlis Agihan Sumbangan Barangan Kepada Mangsa Banjir yang diadakan di Dewan Tok Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman pada 20 Disember lalu.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Haji Hazri Jusoh yang mewakili YAB Ahli Parlimen Kemaman, Yang Berhormat Datuk Razali Idris, Exco Kerajaan Negeri Terengganu merangkap ADUN Kijal dan para pegawai daripada TCCCI, Pejabat Ahli Parlimen Kemaman, IMITS Kijal, dan JPKK Telok Kalong.

Ada beberapa syarikat lain yang turut menghulurkan sumbangan pada majlis tersebut diantaranya adalah syarikat telco prabayar Maxis yang menyediakan pendaftaran sim kad percuma yang terisi RM35 setiap keping kepada penerima.