DUNGUN – Kejayaan Azizul Hasni Awang merangkul pingat emas dalam Sukan SEA menjadi kebanggaan warga Dungun.
Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli bersyukur ke hadrat Allah dengan kejayaan Azizul Hasni Awang yang mengukir sejarah mengesahkan pingat emas acara 200 meter pecut individu lelaki di Velodrom Nasional di Nilai semalam.
“Pingat emas yang dimenangi Azizul memahat sejarah menarik apabila menjadi pungutan pingat ke 111 menepati sasaran pingat emas negara untuk Pasukan Sukan SEA Malaysia kali ini,
“Sudah tentu kejayaan ini menjadi kebanggaan warga Dungun semua. Tidak lupa juga kepada penyumbang pingat ke 110, juga anak Terengganu, Fatehah Mustapa menerusi acara pecut individu wanita dan seluruh atlet Terengganu yang lain,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Dungun berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejayaan ‘The Pocket Rocket Man’ menewaskan peserta lain seterusnya mencipta sejarah memenangi emas dalam temasya dwitahunan itu.
“Kami warga Dungun sekali lagi mendoakan Azizul terus mencipta kejayaan demi kejayaan untuk Terengganu dan Malaysia pada masa akan datang,” katanya.



























