Oleh : Dr Riduan Mohamaad Nor.
Kelantan serta Terengganu dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an yang sudah sinonim dengan banjir . Hujan yang mencurah -curah semenjak awal November akhirnya menakung air terbesar di Terengganu dan kelantan sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir dipenghujung setiap tahun.
Besut daerah agrarian yang sentiasa meriah dengan banjir setiap tahun maka persiapan serta simulasi banjir perlu dilakukan serapi mungkin.
Ujian banjir bukanlah pesta main air seperti Songkran yang menggebu rasa seronok, musim mengawan serta menyeruput kopi hangat. Menghadapi banjir memerlukan kesiapsiagaan tahap maksima, merangkumi fizikal ,mental rakyat juga koordinasi pelbagai agensi kerajaan serta pengupayaan jaringan sivil.
Sejak berzaman , bila banjir menyerkap rakyat, Media akan menggelegak dan penuh emosi hiba, bersulam carut marut kepada pemimpin negara, terutama pemimpin utama yang menerajui agensi kerajaan yang terlibat dengan operasi banjir .
Mutakhir ini tragedi banjir lebih menjerut perasan, bergentayangan pelbagai gambar serta video keperihan mangsa banjir tersebat dengan pantas dizaman langit terbuka ini. Rakaman tangisan, suara kepanikan meminta bantuan bergentayangan di medsos. Visual manusia berkerumun di PPS memenuhi ruang medsos, kenderaan dijeruk air banjir seperti teh tarik mamak menghiasi setiap status pelayar FB.
Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Simulasi banjir juga kaedah membina rantai sinergi pelbagai pihak agar peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah.


PAS sendiri sebagai gerakan Islam , juga melalui entiti kerajaan negeri telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.
Peranan JPKK ,selain peranan NGO bernuansa Islami sebagai agen penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat. Pemimpin akar umbi inilah yang menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat membantu dimusim banjir namun terukir senyuman .
Benarlah, ujian bencana banjir adalah menjadi parameter sesebuah organisasi, samada mereka cemerlang dilapangan atau hanya gah pada carta organisasi.


DUN Jerteh minggu lepas melaksanakan program simulasi banjir dengan melibatkan JPKK, NGO serta agensi kerajaan seperti pihak Jabatan Bomba, PDRM, APM, JKM dan lain lain pihak. Taklimat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang urusan di Pusat pemindahan banjir, bagaimana peranan pimpinan akar umbi untuk memudahkan urusan. Taklimat pihak polis tentang urusan serta SOP tragedi sekiranya berlaku .
Pihak PDRM melalui OCS Balai Jereh mengingatkan peserta- peserta Simulasi bagaimana berinteraksi dengan bencana alam yang telah menjadi rutin tahunan daerah Besut. Segmen paling dramatik serta mencabar ialah latihan aquatik melibatkan kematian serta mangsa lemas.
Program simulasi banjir peringkat DUN Jerteh juga sebagai wahana untuk mempertaut ukhuwwah seluruh pimpinan akar umbi. Banjir di daerah ini saban tahun juga menelan korban bahkan jika terjadi banjir besar akan melibatkan puluhan ribu mangsa yang berpindah ke PPS. Sediakan payung sebelum hujan!.
(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)




























