Siapsiaga Kesihatan Awam, Terengganu Kekal Tenang, Bahagia

29

Negeri Terengganu Darul Iman sememangnya terkenal dengan keindahan pantai dan keunikan budayanya dan menjadi kunjungan ramai pelancong dalam dan luar negara saban tahun.

Justeru, untuk mengekalkan ketenangan dan kebahagian Darul Iman itu, sektor kesihatan awam negeri sentiasa meletakkan kesiapsiagaan yang tinggi dalam mendepani ancaman penyakit berjangkit.

Dari isu penyakit bawaan vektor sehinggalah kepada jangkitan bermusim ketika fasa Monsun Timur Laut, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) terus memperketat perimeter kawalan demi memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Ancaman Senyap Malaria Import

Sejak belakangan ini, isu penyakit Malaria kembali menjadi tumpuan di Terengganu. Majoriti kes yang dikesan bukanlah jangkitan tempatan, sebaliknya merupakan kes import yang dibawa masuk oleh warga asing atau rakyat tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Ancaman Parasit Plasmodium vivax – Jenis parasit ini dikesan dalam kalangan kes import tersebut iaitu sejenis parasit protozoa yang menjadi penyebab utama penyakit malaria pada manusia. Parasit ini disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles betina yang dijangkiti.

Walaupun situasi masih terkawal, kewujudan vektor (nyamuk Anopheles) di kawasan pedalaman menuntut pemantauan yang sangat ketat agar jangkitan tidak merebak kepada komuniti setempat.

Kaedah pencegahan parasit Plasmodium vivax bersandarkan kepada prinsip mengelakkan gigitan nyamuk Anopheles dan menghapuskan parasit di peringkat hati bagi mengelakkan penyakit itu berulang.

Berdasarkan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pencegahan malaria boleh dibahagikan kepada tiga pendekatan utama dan langkah masa depan adalah saringan kesihatan di pintu masuk dan kawasan tempat kerja warga asing perlu diperkasakan secara berkala.

Memutus Rantai Jangkitan Tuberkulosis (Tibi)

Tuberkulosis (Tibi) kekal menjadi salah satu agenda utama kesihatan awam di Terengganu. Penyakit tibi atau tuberkulosis ialah jangkitan kuman serius pada paru-paru yang merebabkan batuk berpanjangan, demam, dan susut berat badan.

Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan boleh dirawat sepenuhnya menggunakan ubat yang betul

Mengikut data awal tahun ini, sebanyak 60 kes baharu telah didaftarkan. Angka ini menunjukkan trend yang stabil, namun usaha pengesanan aktif terus digerakkan.

Cabaran Rawatan Penyakit Tibi adalah, ia memerlukan komitmen yang tinggi. Pesakit wajib mematuhi tempoh rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya 6 bulan.

Kegagalan melengkapkan pusingan ubat bukan sahaja melambatkan penyembuhan, malah berisiko mencetuskan varian kuman yang kebal ubat (Multi-Drug Resistant TB), yang jauh lebih sukar dan mahal untuk dirawat.