Oleh : Syed Solah
Di sebalik huru-hara dan kelam kabut kehidupan diasbabkan percaturan kuasa ‘hero’ dunia, mereka tetap setia dengan Wahyu Ilahi.
Seolah-olah pada helaian mashaf uzur itu tersimpan kekuatan yang luar biasa. Itulah energi keimanan mereka. Memang cukup luar biasa. Subhanallah.
Halaqah Quran bertali arus dari pagi hingga ke malam. Sisa waktu dihabiskan dengan kalamulLah dan beriktikaf di rumah Allah. Tidak hanya warga emas, bahkan kanak² dan muda-mudi juga turut menjadi watak utama di pentas baitulLah itu. Luar biasa bukan? Mereka adalah hero sebenar, bukannya pendatang yang berseragam Amerika itu!
Tertarik aku dengan satu halaqah Al-Quran di sebuah masjid dalam Kota Lama Sana’a, Masjid Kabir, usianya sangat tua. Baginda Nabi sendiri yang menentukan arah kiblatnya suatu waktu dahulu. Ia adalah antara tanda mukjizat agung Nabi yang terulung. SAW.
Halaqah itu dipenuhi dengan anak-anak perempuan kecil sebaya umur 4 hingga 9 tahun. Sewaktu kami sedang berhalaqah bersama mereka, seingat aku, ketika itu sedang membaca surah Al-Fatihah. Lalu salah seorang anak kecil itu tiba-tiba menangis. Teresak-esak. Penuh meruntun. Lantas syeikh yang mengetuai halaqah bertanya, “Kenapa kamu menangis wahai anakku?”
“Masa baca surah tadi, aku teringatkan atuk aku yang baru meninggal.” Lalu budak itu bangun dan terus beredar. Kami terpinga-pinga. Sebak menjalar ke hujung naluri.
Nah! Senjata mereka adalah Al-Quran. Vaksin penawar kerinduan mereka juga Al-Quran. Lantas mereka sekuat itu.
Di sana…
Kita lihat mereka berperang. Disusun, dicatur, dan disisihkan. Kita nampak mereka berjuang dengan kesulitan hidup.
Terpampang kesedihan di wajah ibu² dan anak² mereka. Renungan mereka memaparkan visual bisu yang sarat dengan kepiluan.
Di sini…
Melalui pena yang bertinta air mata ini. Aku kongsikan satu kekuatan yang wujud di sebalik lapar dan haus mereka.
Di sini…
Aku coretkan realiti kehidupan seharian yang sedang berlangsung di Yaman, yang dunia juga perlu melihat dan menyentuhnya.
Dalam keterpaksaan perang. Dalam ketiadaan sumber pencarian. Dalam gempita teriakkan pembunuhan. Mereka tetap tidak melupa kewujudan Tuhan. Kerana bagi mereka, itulah sumber kehidupan yang hakiki. Mereka meyakini ayat² suci yang ditadabbur tersebut mengatakan bahawa orang² yang gugur di jalan Allah itu akan terus hidup di sisi Allah. Malah akan menikmati rezeki yang berterusan.
Halaqah Al-Quran seperti itu berlangsung setiap hari, dalam masa yang sama di luar sana juga berterusan kedengaran letupan bidikan dan pengeboman dari pemangsa tanpa sekelumit ehsan.
Subhanallah. Mereka serumpun umat ‘pelik’ yang masih wujud dan setia dengan pegangan agama.
Ia bagi kami, pastinya sudah menjadi sebuah perjuangan yang kita wajib tanggung bersama. Mungkin caranya sahaja yang berbeza. Justeru jika kita melupai mereka yang juga sebahagian dari saudara kaum muslimin, tunggulah kemurkaan baginda Nabi SAW. Tiada lagi syafaat buat kita.
Tugas kami di sini bukan hanya tentang menyuap makanan kepada yang kelaparan, atau memberi minum kepada yang haus, atau menyelimutkan mereka yang kesejukan. Namun lebih dari itu, memastikan kesinambungan generasi cinta Al-Quran di hadapan kami ini terus mendapat pembelaan dan keselesan sebagai seorang yang mempunyai jutaan saudara di seluruh dunia. Tanpa usaha tersebut, mereka selamanya tidak akan terbela, dan pastinya kita pula akan tercela hina.
Yakinlah bahawa hanya bahtera Al-Quran sahajalah berkemampuan menyelamatkan manusia yang semakin hanyut dengan ole-ole dunia pada hari ini.
Wahai penakluk bumi iman dan hikmah…
Teruskan persahabatan kalian dengan Al-Quran. Ratiblah terus ayat-ayat suci ini agar gemanya dapat membuka mata² kami dan dunia. Hari ini kalian merasa bahawa kalian menghafaz Al-Quran. Namun, akan sampai harinya nanti kalian akan tersedar, Al-Quranlah yang sebenarnya ‘menghafaz’ kalian serta mereka yang bersahabat dengannya.
‘Bangkit Beragama, Umat Terbela’











