Selipar Dan ‘Pampers’

1082

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Anak kecil dibiarkan bebas bermain debu tanpa selipar. Tidak berseluar malah pampers pun tidak pernah kenal. Mereka agak terbiar. Petang sebegini adalah ruang masa paling seronok mereka bermain. Tanpa gangguan dan ketakutan dari bedilan peluru tentera Myanmar. Mereka tiada gajet canggih seperti kita. Line internet pun ciput.

Apabila direnung kembali wajah-wajah comot berdebu itu, saya mula kembali mengingati anak di rumah. Jauh bezanya kehidupan mereka dengan kita yang serba kemewahan. Mereka pula terkurung dalam kem yang belum tentu memjaminkan kemewahan.

Semasa di tanah Rakhine sendiri pun mereka sudah lama ditindas. UNHCR menganggarkan 78% dari penduduk Rakhine miskin dan berada di bawah paras kemiskinan berbanding dengan negara bangsa jiran seperti Bangladesh.

Etnik Rohingya telah dinafikan hak kerakyatan sejak 1824 lagi sepanjang kolonial British. Tenaga kaum lelaki mereka hanya digunakan untuk buruh kasar oleh penjajah British. Wartawan kemanusian seperti kumpulan Al Jazeera, CNN dan The Guardian mengistiharkan etnik Rohingya adalah etnik yang paling teruk dinafikan hak. Mereka disekat hak untuk berkahwin dengan bangsa lain, tidak boleh bekerja dalam negara yang mereka lari, tidak boleh meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi, serta pergerakan terbatas.

Selepas penyerahan kemerdekaan oleh Kolonial British kepada India dan Pakistan tahun 1947, krisis berlarutan di antara pemilikan sebenar Bangladesh-Myanmar dan Arakan. Akhirnya Myanmar beroleh kemerdekaan pada 1948, dan Bangladesh agak terkebelakang sedikit mencapai kemerdekaan, 1971.

Namun tanah Arakan yang nama asal bagi negara Rakhine tidak dimasukkan dalam perjanjian kemerdekaan. Bangsa Rohingya seolah-olah stateless walaupun mempunyai tanah air iaitu Rakhine. Myanmar menuntut bahawa bumi Rakhine adalah hak mereka. Hatta bangsa Rohingya juga tidak dikelaskan sebagai satu bangsa etnik asal Myanmar. Penggubalan baru Union Citezen Act 1982 pun tidak memasukkan bangsa Rohingya sebagai salah satu kumpulan etnik dari 135 buah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Mereka sekali lagi dipinggirkan.

Apabila berlakunya pembersihan etnik 1970 dan 1990, rakyat Rakhine bertebaran ke pelusuk Asia termasuk negara kita, Indonesia, Thailand dan Bangladesh. Terdapat sebahagian dari mereka dijadikan sumber pemerdagangan manusia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Krisis pembersihan etnik Rohingya terbaharu 2015 hingga kini, sebagai pembersihan terdahsyat dalam siri pembantaian. Lebih dari 1.2 juta pelarian Rohingya terpaksa merentas denai, lurah dan bukit ke sempadan Bangladesh.

Bagi anak kecil ini, tidak berseluar, tiada pampers dan berkaki ayam sudah menjadi darah daging kehidupan mereka. Biarkanlah anak-anak kecil ini bermain debu serta membina istana lumpur di Cox’s Bazar, asalkan hati mereka tenang dan bahagia.

Sekian coretan selepas klinik statik suhazeli.com dari Zon UU, Kem Kutupalong, Cox’s Bazar.