Sambutan Aidilfitri Sederhana, Fokus Kemeriahan Dalam Keadaan Ekonomi Mencabar

111

KUALA NERUS – Program sambutan Aidilfitri tetap diteruskan secara sederhana dengan menekankan aspek kemeriahan berbanding kemewahan, walaupun berdepan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, pendekatan berjimat cermat diambil selaras dengan situasi semasa tanpa menjejaskan tradisi program tahunan tersebut.

Menurutnya, sambutan kali ini menyasarkan kehadiran sekitar 3,000 pengunjung, dengan penyertaan yang memberangsangkan sejak awal pagi melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.

“Yang penting adalah kemeriahan untuk kita bersama-sama meraikan hari raya, manakala soal kemewahan itu perkara kedua,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika ditemui pihak media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Seberang Takir di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak yang disifatkan memberi kesan rantaian kepada peningkatan harga barangan dan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme dan bantuan baharu bagi mengurangkan beban rakyat, terutama jika situasi tersebut berlarutan sehingga hujung tahun.

“Walaupun tidak semua masalah boleh diselesaikan sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada usaha untuk meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan agar kerjasama antara kerajaan dan pembangkang diperkukuhkan dalam mencari solusi terbaik, mengambil contoh kerjasama yang berlaku semasa tempoh pandemik COVID-19.

Mengulas persediaan menghadapi pilihan raya, beliau menegaskan bahawa gerak kerja PAS dan Perikatan Nasional tidak bersifat bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan melalui aktiviti kebajikan, lawatan dan latihan kepada petugas.

“Sejak dahulu, kerja kebajikan dan membantu rakyat dilaksanakan secara berterusan, bukan bermusim atau hanya ketika pilihan raya.

“PAS tidak menunggu musim pilihan raya untuk bergerak, sebaliknya sentiasa aktif kerana parti ini bukan hanya berfokus kepada pilihan raya semata-mata, tetapi juga berperanan sebagai parti kebajikan dan dakwah,” ujarnya.

Katanya, kursus dan pendedahan kepada ahli dan jentera parti tetap dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.