RUU URA Buka Ruang Kezaliman Dan Penindasan

113

KUALA TERENGGANU – Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT) menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang bakal dibentangkan untuk bacaan kedua di Parlimen, dengan alasan ia membuka ruang kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, khususnya pemilik tanah.

Ketuanya, Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat Sulaiman berkata, meskipun Islam tidak menolak pembangunan, ia mesti menjamin keadilan serta kesejahteraan masyarakat. Sebaliknya, RUU URA disifatkan pincang kerana memberi peluang manipulasi dalam isu pampasan tanah yang tidak adil.

“Walau sekecil satu peratus ruang eksploitasi tetap wajib ditolak, kerana syariat Islam menutup segala jalan yang boleh membawa kepada kerosakan (Saddu al-Zarā’i‘). Prinsip fiqh jelas menetapkan ‘al-Ḍarar yuzāl’ segala bentuk kemudaratan wajib dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, pembangunan sebenar mestilah berteraskan keadilan, maslahat bersama dan kesejahteraan rakyat, bukannya menindas atau merampas hak pemilik tanah.

“Islam menolak undang-undang zalim. Pembangunan sebenar mestilah menzahirkan keadilan, kesejahteraan dan maslahat bersama.

“RUU URA dalam bentuknya kini hanya membawa mafsadah dan kemudaratan yang jelas,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau menyokong penuh pendirian PAS Pusat dan mendesak agar RUU URA ditolak sejak awal kerana bercanggah dengan prinsip syariah yang mencegah kezaliman.

“Menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu dan umat Islam seluruh negara, untuk hadir beramai-ramai dalam Himpunan Mega Tolak Ura dengan semangat “rakyat bangkit lawan kezaliman” pada Sabtu ini, 4 Oktober 2025, jam 2 petang di Dataran Sogo, Kuala Lumpur.

“Kehadiran anda adalah suara rakyat yang menuntut keadilan, menolak kezaliman dan memperjuangkan pembangunan yang sejahtera serta berpaksikan nilai Islam,” tegasnya.