Rundingan Damai Tidak Menentu

1053

PERIKSA KERETA: Seorang pegawai keselamatan Israel memeriksa sebuah kereta di Hospital Soroka di Beersheba, selatan Israel, selepas sekumpulan orang bersenjata Palestin melepaskan tembakan ke atas kereta itu di Tebing Barat, kelmarin. -- Foto APLuputnya pembekuan pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat menyebabkan rundingan damai Timur Tengah menjadi tidak menentu semalam, sewaktu Israel, Palestin dan Amerika berusaha mencari tolak ansur agar rundingan boleh diteruskan.

Seorang pegawai kanan Palestin berkata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, akan memulaukan rundingan damai jika Israel menyambung semula pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat, selepas larangan selama 10 bulan itu ditarik balik.

Yasser Abed Rabbo memberitahu Radio Israel semalam bahawa pembinaan petempatan akan ‘membantutkan rundingan dan membantutkan huraian politik’.

Larangan pembinaan petempatan Yahudi itu berakhir tengah malam kelmarin. Namun Israel tidak menunjukkan kesediaan bagi melanjutkan larangan tersebut.

Abbas berkata beliau tidak dapat meneruskan rundingan damai di Washington jika Israel terus membina petempatan Yahudi.

( Gambar kanan – PERIKSA KERETA: Seorang pegawai keselamatan Israel memeriksa sebuah kereta di Hospital Soroka di Beersheba, selatan Israel, selepas sekumpulan orang bersenjata Palestin melepaskan tembakan ke atas kereta itu di Tebing Barat, kelmarin. — Foto AP)

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pemerintah Israel tidak bercadang melanjutkan pembekuan tersebut.

‘Saya berharap Presiden Abbas akan meneruskan rundingan dan terus bersama saya menuju jalan perdamaian yang kita mulakan tiga minggu yang lalu,’ kata Netanyahu dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

Abbas menangguhkan keputusan sama ada hendak memulaukan rundingan sehingga Isnin depan apabila beliau berbincang dengan 22 negara Liga Arab mengenai isu tersebut.

Di Paris kelmarin, Abbas berkata hanya ada satu pilihan bagi Israel – ‘sama ada damai atau petempatan’.

Netanyahu menggesa Abbas agar meneruskan rundingan dan pada masa yang sama memujuk peneroka Yahudi supaya mengawal perasaaan.

Di bawah tekanan Amerika,  Netanyahu memujuk Kabinet agar akur membekukan pembinaan petempatan Yahudi pada November lalu supaya pemimpin Palestin kembali ke meja rundingan.

Semalam, peneroka Yahudi menyambung semula pembinaan bangunan di beberapa petempatan di Tebing Barat.

Para pekerja memulakan kerja membina berpuluh rumah di kejiranan Ariel, lapor jurucakap perbandaran, Cik Chen Kedem.

Encik Naftali Bennett, ketua pengarah Majlis Yesha, yang mewakili 300,000 penduduk Yahudi di Tebing Barat, berkata pembinaan juga sedang berlaku di petempatan Oranit dan Adam.

Perunding Palestin, Nabil Shaath, berkata pihaknya akan ‘menilai apa yang berlaku di lapangan’.

Amerika mahu Israel melanjutkan pembekuan pembinaan petempatan, kata jurucakap Jabatan Negara, Philip J. Crowley.

‘Kami tetap fokus berhubung matlamat meningkatkan rundingan bagi mencapai huraian dua negara,’ tegas beliau. — Agensi.