MARANG – Pasukan Rhu Rendang (2) akhirnya berjaya untuk mencipta nama sebagai juara selepas menewaskan Rhu Rendang (1) dalam Pertandingan Bola Sepak Pantai Tertutup ‘Orang Muda Geng Kita’ di Pantai Kijing di sini.
Corak permainan bertahan dan gagal untuk menyudahkan peluang terhidang menyebabkan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1 – 1 sebelum perlawanan akhir itu terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.
Namun, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan pemain Rhu Rendang (2) melayakkan pasukan itu muncul juara dengan kemenangan tipis apabila berjaya menewaskan Rhu Rendang (1) dengan jaringan sepakan penalti 3 -2.


Menurut Ketua Pemuda PAS DUN Rhu Rendang, Mohamad Aswadi Mohamad, sebanyak enam pasukan menyertai pertandingan bola sepak pantai tersebut yang diadakan buat kali pertama di UPU Kijing secara tertutup.
“Namun, sokongan peminat meningkatkan semangat pemain yang menyertai kejohanan ini dan pihak penganjur berterima kasih atas sokongan padu daripada semua pihak terlibat dalam memeriahkan kejohanan kali ini,” katanya.
Menurutnya, pertandingan bola sepak pantai itu diadakan sempena Program Cakna Rakyat Unit Peti Undi (UPU) Kijing dengan kerjasama Majlis Tindakan Dun (MTD) Rhu Rendang, Pemuda Pas Dun Rhu Rendang dan Pemuda Kijing.
“Berdasarkan sokongan ramai ini kita bercadang melaksanakan pertandingan lebih besar pada masa-sama akan datang dan yakin melalui penganjuran acarasukan ia dapat menarik perhatian belia untuk melibatkan diri,” katanya.
Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali.


























