Reaktor Iran bukan ‘risiko penambahan’ senjata nuklear

682

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/Iran%20bushehr.jpgWASHINGTON: Amerika Syarikat tidak melihat sebarang ‘risiko pertambahan’ senjata nuklear daripada loji kuasa nuklear buatan Russia yang pertama di Bushehr, Iran (gambar), yang baru diisi dengan bahan pembakarnya kelmarin, kata Jabatan Negara Amerika semalam.

Pelibatan Russia dalam reaktor itu, yang bertujuan bagi kegunaan awam, ‘menegaskan bahawa Iran tidak memerlukan satu keupayaan pengayaan asli jika tujuan sebenarnya adalah untuk kedamaian’, kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Darby Holladay, kepada agensi berita AFP.

‘Kami sedar bahawa reaktor di Bushehr itu telah direka untuk menyediakan kuasa nuklear awam dan tidak melihatnya sebagai satu risiko pertambahan (senjata nuklear),’ jelas beliau.

Reaktor itu, menurut Encik Holladay, adalah ‘di bawah perlindungan IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) dan Russia menyediakan bahan pembakar yang diperlukan dan mengambil semula bahan pembakar nuklear yang telah dipakai, yang boleh menjadi sumber utama kebimbangan terhadap (risiko) pertambahan itu’.

Seorang pegawai Rumah Putih bagaimanapun menekankan bahawa pandangan Amerika terhadap reaktor Bushehr itu ‘tidak harus dikelirukan dengan kebimbangan asas dunia terhadap keseluruhan matlamat nuklear Iran khususnya usaha negara itu ke atas pengayaan uranium’.

Selepas menjalani penangguhan pembinaannya selama lebih tiga dekad lalu, para jurutera Iran akhirnya mula mengisi bahan pembakar nuklear yang dibekalkan oleh Russia ke dalam loji nuklear berkenaan, kelmarin, dengan disaksikan oleh para pemeriksa daripada PBB.

Negara-negara Barat yang diketuai oleh Washington mendakwa program nuklear Iran itu menyembunyikan program senjatanya yang sebenar, satu dakwaan yang dinafikan dengan keras oleh Teheran. — AFP.