JITRA – Keyakinan PAS untuk menang sehingga 80 kerusi akan mampu dicapai dan yakin ramai rakan daripada UMNO akan membantu untuk merealisasikan impian PAS tersebut.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sikap agresif DAP sangat tidak disenangi oleh segelintir Ahli Parlimen UMNO termasuk komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA.
Katanya, perkara yang berlaku itu akan membantu strategi PAS untuk menarik kalangan pengundi bukan Islam yang tidak senang melihat tindakan agresif DAP
“Mereka kadangkala zahirkan secara terus terang sebagimana kita boleh lihat dalam perbahasan di parlimen bagaimana MCA buat kenyataan menentang DAP termasuk MIC.
“Mereka (MIC dan MCA) tidak pernah merasakan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Mereka beranggapan kerjasama yang berlaku sekarang antara UMNO dengan PH sahaja bukan dengan mereka,”ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media, selepas menghadiri Muslim Ummah International Forum (MUNIF), di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, semalam.
Katanya, MIC dan MCA juga turut terpinggir dalam kerajaan apabila tiada ahli parlimen mereka yang dilantik sebarang jawatan dalam kabinet.
“Jadi potensi yang ada untuk menguatkan lagi kekuatan muafakat boleh kita kembangkan lagi dan boleh digarap.
“Tidak mustahul berdasarkan apa yang terjadi kita boleh mencapai hasrat memenangi 80 kerusi.
“‘point’ besarnya bukan jumlah kerusi yang akan dimenangi tetapi gerak kerja serta strategi yang akan dilakukan, “jelas beliau.