Rahsia Kedudukan Jerawat

2761

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Saya nak jawab satu sebaran maya berkenaan rahsia kedudukan jerawat. Menurut sebaran tular tersebut, jerawat akan tumbuh dibahagian tertentu muka kerana berkait dengan penyakit badan.

~ Jerawat di dahi kerana peredaran darah bermasalah, stres dan selalu panas baran.
~ Jerawat di batang hidung kerana tulang belakang bermasalah. Manakala di hujung hidung kerana sistem penghadaman tak betul, masalah ovari dan sistem reproduktif tak teratur bagi wanita.
~ Jerawat di dagu kerana sistem endokrin bermasalah. Haid tidak teratur dan alat peranakan rosak.
~ Jerawat di pipi kanan kerana masalah paru-paru. Di pipi kiri pula masalah fungsi hati.
~ Jerawat di badan pula kerana sistem perkumuhan rosak dan akibat sembelit.

Sebagai makluman pembaca, tidak pernah dalam mana-mana penemuan ilmiah menyatakan keterkaitan sedemikian. Mungkin ianya pengalaman terpencil sesetengah orang, tetapi tidak dapat dibawa pembuktian secara tuntas. Justeru segala kaitan itu adalah tidak benar.

Untuk pengetahuan pembaca, jerawat terjadi akibat kilang sebum (peluh) tersumbat terutama dikawasan muka, sebahagian atas dada dan belikat.

Apabila tersumbat, akan berlaku radang setempat. Warnanya akan kelihatan merah. Bagi sesetengah orang radang reda dalam tempoh yang sekejap, akhirnya sembuh tetapi meninggalkan kesan parut kecil berwarna hitam.

Jika tidak menjaga kebersihan, jerawat yang radang tadi akan merebak sehingga boleh menhadirkan jangkitan kuman. Ia bergantung kepada penjagaan kebersihan. Radang tersebut menjadi lama, resiko untuk jangkitan kuman tinggi. Apabila kuman masuk, jerawat akan kelihatan bernanah. Bagi kes teruk nanah ini besar sehingga nampak kematu yang menyakitkan. Jenis ini diberi nama jerawat batu.

Setelah tempoh tertentu, ia akan sembuh, kematu ini akan membentuk parut yang menghodohkan.

Suka saya tekankan sekali lagi bahawa sesekali kedudukan jerawat yang sedemikian tiada kaitan dengan sistem usus, sistem peranakan, sistem tulang belakang, paru-paru dan seumpamanya.