Qabil, “kecik-kecik cili padi”

382

Qabil Irfan Azlan, membuktikan dirinya berada pada kelas tersendiri apabila berjaya menjuarai Kejohanan SIC MiniGP 110cc di litar Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad.

Lebih mengujakan, Ikon Permotoran Terengganu itu yang baru berumur lapan tahun telah memenangi tempat pertama pada semua empat pusingan membabitkan lapan perlumbaan  membabitkan umur bawah 13 tahun.

Dikenali sebagai Velentino Rossi Jr dikalangan peminat motoGP kerana keberaniannya di selekoh, Qabil turut memecahkan rekod masa terpantas sepusingannya dengan catatan 57.848 saat di pusingan ke tiga.

Bapanya, Azlan Abd Rahman yang menyaksikan Qabil ditabalkan sebagai juara ternyata gembira dengan kejayaan yang diraih.

“Alhamdulillah..Alhamdulillah, syukur…kami akan balik ke Terngganu dan akan ada di kedai pada Rabu, InshaAllah.” katanya ringkas melalui peti suara aplikasi Whatsapp.

Azlan yang mengusahakan Kedai Nasi Ayam Penyet berhampiran bulatan Ladang telah membimbing Qabil mengendalikan motosikal sejak empat tahun lalu.

Lebih membanggakan bukan sahaja Qabil malahan Hakim Danish turut melakar kejayaan sebagai juara keseluruhan bagi 160cc dan Adam Danial turut cemerlang dalam 110cc.

Selaku juara keseluruhan Qabil dan Hakim akan layak ke perlumbaan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) pada tahun hadapan.

Kejayaan rider cilik dari Terengganu membuktikan mereka adalah aset penting dalam sukan permotoran yang harus diberi perhatian sewajarnya untuk mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara satu hari nanti.