Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini telah membuat tiga keputusan besar yang sangat penting, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS telah menerima dan meluluskan keahlian parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sebagai anggota komponen Gagasan Sejahtera (GS).
“Kita (PAS) telah pun menerima dan meluluskan keahlian parti Berjasa sebagai parti komponen kita dalam Gagasan Sejahtera melalui mesyuarat pada hari ini.
“Kedua, kita juga menerima permohonan daripada Parti Ikatan untuk mereka menggunakan lambang PAS dalam pilihan raya (PRU14) kali ini. Mengikut taklimatnya, parti Ikatan tidak bertanding banyak kerusi dan dia (Ikatan) tubuh parti pun bukan hendak bertanding sangat tetapi untuk bantu kemenangan PAS dalam pilihan raya pada kali ini.
“Kita harap keputusan besar ini akan menjadi lonjakan besar kepada parti dan sekaligus kita akan lancarkan Manifesto PAS Pusat, Insya’Allah,” jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kemaman Kali Ke-43 di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini, pada Sabtu Mac.
Menurutnya, Gagasan Sejahtera diperkenalkan oleh PAS sebagai pandangan blok ketiga yang tidak bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, blok ketiga adalah golongan rakyat yang tidak bersetujun dengan kepimpinan BN, Dato’ Seri Najib dan PH yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir.
“Tapi, jiwa besar kita (PAS) sedia untuk lihat mana ruang untuk kita capai kemenangan bersama blok Gagasan Sejahtera ini.
“Bila kita (PAS) perkenalkan Gagasan Sejahtera ianya tidak termasuk Barisan Nasional dan tidak ada Pakatan Harapan. Politik Malaysia adalah politik dua wajah sejak merdeka sampai sekarang iaitu wajah pembangkang dan wajah kerajaan.
“Oleh kerana, PAS tidak bersama Pakatan Harapan (maka) dituduh PAS bersama kerajaan (BN). Kita tegaskan PAS tidak bersama Umno-BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan.
“Kita ada pandangan (blok) ketiga. Kita (PAS) bawa gagasan blok ketiga dengan Gagasan Sejahtera. Blok ketiga yang rakyat tidak setuju dengan Umno-BN yang zalim kepada rakyat dan rakyat juga tidak setuju dengan Pakatan Harapan yang memanggil balik Tun Dr Mahathir,” jelasnya.