KUALA TERENGGANU — Pembinaan Terminal Bas Jertih yang dijangka siap pada Jun 2027 kini menunjukkan kemajuan fizikal sebanyak 11.62 peratus, sedikit lewat berbanding jadual asal iaitu 13.51 peratus, dengan perbezaan -1.89 peratus bersamaan enam hari bekerja.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, YB Dato’ Haji Hanafiah Mat, kelewatan ini berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor mematuhi jadual bagi kerja-kerja pengujian cerucuk (piling) yang menjadi asas utama projek.
“JKR telah mengeluarkan surat amaran kali ketiga kepada kontraktor dan mengarahkan mereka mengemukakan pelan pemulihan (Recovery Plan) bagi memastikan projek ini kembali berada di landasan asal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga, menjawab soalan lisan ADUN Jertih YB Ustaz Dr Riduan Mohd Nor pada Penggal Persidangan Ketiga (Sidang Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-15, pagi ini.


Tambahnya, Terminal Bas Jertih yang mula dibina pada 26 Disember 2024 dengan jangka siap pada 23 Jun 2027, merupakan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Besut bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Projek ini merangkumi pembinaan bangunan terminal bas dan teksi bersepadu, rumah sampah, rumah pam air bersih, sistem retikulasi air, sistem kumbahan, serta kemudahan elektrik dan mekanikal yang lengkap bagi keselesaan pengguna,” ujar beliau.
Sementara itu, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jabi telah dijadikan terminal bas sementara sejak April 2025 bagi menampung keperluan pengangkutan awam di kawasan Besut sehingga projek siap sepenuhnya pada tahun 2027.





























