Perang Iran–Israel: Sokongan Politik kepada Iran dan Amaran Risiko Perang Serantau

193

KUALA TERENGGANU – konflik antara Iran dan Israel bukan sekadar isu ketenteraan, sebaliknya berkait rapat dengan percaturan politik global melibatkan Amerika Syarikat serta kepentingan Zionisme di Asia Barat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ustaz Khalil Abdul Hadi berkata, penghentian sementara perang sebelum ini membuka ruang rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat berhubung program nuklear Tehran yang pernah dimeterai pada era Presiden Barack Obama, namun dibatalkan ketika pentadbiran Donald Trump.

Menurutnya, Amerika Syarikat mendesak supaya rundingan meliputi tiga perkara utama iaitu program nuklear, pembangunan peluru berpandu dan hubungan Iran dengan kumpulan proksi di Timur Tengah seperti Hamas dan Hezbollah. Bagaimanapun, Iran menolak syarat tersebut dan hanya bersetuju berbincang berkaitan program nuklear untuk tujuan keamanan.

“Perang jangka pendek, Konflik mungkin berlaku hanya beberapa hari, dilihat sebagai langkah politik Amerika Syarikat khususnya di bawah kepimpinan Donald Trump bagi memenuhi tekanan dan kepentingan Israel.

Perang serantau, Konflik berpotensi berlarutan dan melibatkan lebih banyak negara. Israel dilihat berada dalam keadaan defensif sejak 7 Oktober 2023. Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, didakwa menggerakkan fasa perluasan wilayah, dengan Iran dianggap sebagai halangan utama.

“Perang dunia, Jika konflik merebak dan melibatkan kuasa besar seperti Rusia dan China, ia berisiko menjadi perang global. Penggunaan senjata nuklear oleh mana-mana pihak boleh mencetuskan tindakan balas kuasa besar lain, sekali gus memperluas konflik ke peringkat antarabangsa,” ujarnya dalam media sosial, semalam.

Katanya, Israel kini berada dalam kedudukan defensif sejak serangan 7 Oktober 2023 dan berdepan tekanan antarabangsa, sekali gus mendorong tindakan ketenteraan bagi memperkukuh kedudukannya.

Ustaz Khalil menegaskan sokongan terhadap Iran dalam konteks ini adalah pendirian politik, bukan sokongan terhadap mazhab tertentu.

“Dalam konflik antara negara Islam dan negara yang memusuhi Islam, pendirian politik umat Islam ialah membantu saudara seagama yang dizalimi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Iran diperintah majoriti Syiah, terdapat juga komuniti Sunni dalam negara itu dan isu semasa perlu dilihat dalam kerangka geopolitik, bukan perbezaan mazhab.

Mengulas serangan terhadap pengkalan tentera Amerika di beberapa negara Arab, beliau berkata kewujudan pengkalan tersebut sejak pasca Perang Dunia Kedua bertujuan menjaga kepentingan geopolitik Barat dan keselamatan Israel.

Katanya, negara-negara Arab sepatutnya membina kekuatan pertahanan sendiri tanpa bergantung kepada kuasa luar, memandangkan mereka memiliki sumber ekonomi dan kedudukan strategik.

Beliau menambah, konflik ini juga berkait rapat dengan perjuangan Palestin, khususnya sokongan Iran terhadap Hamas.

Menurutnya, usaha menekan Iran termasuk desakan memutuskan hubungan dengan Hamas dilihat sebagai strategi melemahkan perjuangan pembebasan Palestin.

Konflik semasa, katanya, berpotensi mengubah landskap politik global bergantung kepada sejauh mana ia berlanjutan dan penglibatan kuasa-kuasa besar dunia.

Secara keseluruhan, beliau menegaskan umat Islam perlu bersatu dalam menghadapi sebarang bentuk pencerobohan terhadap negara Islam, di samping menilai situasi berdasarkan prinsip keadilan dan kepentingan ummah.