Pengerusi PN Diputuskan Seminggu Lagi

259

KUALA TERENGGANU — Keputusan siapakah akan menjawat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka dimuktamadkan seminggu lagi, selepas mesyuarat PAS Pusat.

Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan calon akan ditentukan sepenuhnya oleh kepimpinan PAS Pusat dan bukan keputusan individu.

“Belum, belum lagi. Saya serah pada Pusat untuk pilih sesiapa dia, bukan mesti saya.

“Mesyuarat tak buat lagi, minggu depan. Perikatan Nasional pun tak buat lagi. Setiausaha tak ada, tapi dia boleh buat dengan jumlah ahli-ahli cukup buat mesyuarat,” tegasnya ketika ditemui pihak media selepas kuliah Dhuha, Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurut beliau, sama ada satu atau dua nama dikemukakan, bergantung kepada keputusan mesyuarat tersebut, manakala mesyuarat PN masih belum diadakan.

Mengulas perkembangan politik di Perlis, Ustaz Abdul Hadi menegaskan, PAS telah membuat keputusan untuk tidak menerima sebarang tawaran jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk yang melibatkan wakil rakyat parti itu.

“Kita dah buat keputusan, kita tak akan terima jawatan tu. Sudah buat keputusan dan ikut keputusan,” jelasnya

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebimbangan sesetengah pihak terhadap kemungkinan PAS menerajui PN akan terjawab apabila urusan pentadbiran berjalan dengan baik.

Ahli Parlmen Marang itu menegaskan, sokongan bukan Islam merupakan faktor penting dalam memastikan kemenangan politik.

“Kita tidak boleh menang dengan sokongan orang Islam sahaja. Sokongan bukan Islam dan bukan ahli PAS juga amat penting,” katanya.