KUALA TERENGGANU – Pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bukti kejayaan Model Pendidikan Tahfiz Bersepadu Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTTDI)
Ia bukan hanya mencerminkan peningkatan akademik semata-mata bahkan menonjolkan kepentingan ilmu Al-Quran yang semakin mendapat perhatian di negara ini.
Mudir MTTDI, Ustaz Haji Muzaihar Kamal Mustapa Kamal berkata, Keputusan SPM yang diumumkan semalam adalah dalil, pelajar institusi tahfiz mampu mencapai ilmu duniawi tanpa mengabaikan hafazan kalam Allah.
Katanya, MTTDI sekali lagi mencipta sejarah membanggakan apabila para pelajarnya mencatat keputusan terbaik selepas anugerah Sijil Tinggi Agama Malaysia ( STAM) baru-baru Ini.


“Pencapaian tersebut merupakan hasil usaha gigih pelajar, komitmen berterusan guru dan sokongan padu ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan dapat dicapai secara menyeluruh,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, antara pencapaian paling menonjol ialah dalam aliran Pengajian Islam apabila Aisyah Nadhirah Muzaihar Kamal memperoleh 9A (8A+, 1A), diikuti Nurin Awfiyah Mohd Amri dengan 8A (1A+, 7A, 1C+).
“Bagi aliran Perakaunan, Muhammad Husain Nusayr Azhar mencatat keputusan terbaik dengan 10A, manakala dalam aliran Sains Tulin, Muhammad Haziq Mohd Adika memperoleh 9A,” ujarnya
Lebih membanggakan, kata beliau, tiga daripada pelajar tersebut merupakan hafiz al-Quran yang telah menamatkan hafalan 30 juzuk, sekali gus menjadi keterangan nyata keupayaan pelajar mengimbangi akademik dan ilmu agama.


Beliau menegaskan, kejayaan ini adalah satu realiti bahawa institusi pendidikan agama rakyat mampu melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berdaya saing dalam sistem pendidikan negara.
Oleh itu, tambah pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Negeri Terengganu (YAKEP), Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT) serta semua pihak yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung.
“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.






























