Oleh: Mohd Haniff Abas
HULU TERENGGANU – Setiap pemuda harus mempunyai idola di kalangan para sahabat nabi kerana mereka mempunyai watak yang berbeza tetapi telah dijamin syurga.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, perbezaan personaliti setiap orang ini membolehkan setiap pemuda memilih idola yang bersesuaian dengan mereka dan seterusnya mencontohi amalan para sahabat yang dipilih.
“Setiap pemuda harus mempunyai ilmu supaya dapat berhujah berlandaskan al- Quran dan as- Sunnah dengan pihak lawan”, katanya ketika menyampaikan taujihat di Madrasah Darul Ansar Kampung Basung, di sini pada 9 November.
“Perlu ada kesungguhan dikalangan anak muda untuk menuntut ilmu. Manfaatkan waktu malam untuk menuntut ilmu di masjid-masjid dan surau-surau”,
“Kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan kita”, ujar beliau.
“Gunakanlah tempoh kemenangan selama lima tahun ini untuk mencari pahala yang sangat besar dengan memperluas berbuat kebaikan, supaya orang lain boleh mengikut kebaikan yang kita buat”,
“Suatu nikmat yang sangat besar apabila Allah SWT mengurniakan kemenangan ketika usia masih muda kerana mempunyai tenaga yang kuat untuk bekerja dalam mengisi kemenangan ini “, tambah beliau lagi.
Beliau kemudian berpesan agar para pemuda menghindari sifat bakhil dan berangan-angan tinggi kerana boleh menghancurkan jemaah Islam yang telah terbina sekian lama.