KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mendesak agar kerajaan Persekutuan segera memuktamadkan dan memulakan pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang telah sekian lama dinantikan oleh rakyat negeri Terengganu dan Kelantan.
Ketuanya, Ustaz Muhamad Hamdi Harun, projek ini amat penting bagi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya dari LPT2 di Kampung Gemuroh, Kuala Nerus ke Tunjong, Kota Bharu dapat direalisasikan sepenuhnya, sekaligus menjadi nadi utama pembangunan ekonomi dan sosial Pantai Timur.
“LPT3 bukan sekadar infrastruktur pengangkutan, tetapi nadi kemajuan rakyat Pantai Timur yang akan membuka banyak peluang pekerjaan, meningkatkan aliran pelaburan, serta memendekkan masa perjalanan antara negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, malangnya sehingga kini kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan pelaksanaan projek ini, kononnya atas alasan menilai semula kebolehlaksanaan dan model pembiayaan.
“DPPNT berpandangan bahawa alasan sedemikian tidak wajar dijadikan hujah untuk terus menangguhkan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada jutaan penduduk di kawasan Pantai Timur,” ujarnya .


Tambahnya lagi, rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kelewatan dan ketidaktentuan dasar kerajaan pusat, sedangkan negeri-negeri Pantai Timur juga merupakan penyumbang utama hasil negara.
Sehubungan itu katanya, DPPNT menuntut agar kerajaan Persekutuan menyatakan segera garis masa rasmi bagi pelaksanaan projek LPT3, menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan dalam tahun ini, tidak menangguhkan pelaksanaan atas alasan politik atau pertimbangan konsesi semata-mata, serta memberikan keutamaan kepada projek ini dalam Bajet 2026.
“Kerajaan Persekutuan mesti menghormati semangat federalisme dalam sebuah negara yang berdaulat. Janganlah negeri yang ditadbir oleh kerajaan berbeza dihukum atau dianaktirikan, kerana hakikatnya rakyatlah yang akan menanggung kesannya. Prinsip federalisme menuntut agar pembangunan dan kemudahan infrastruktur diberikan secara adil kepada semua wilayah, tanpa mengira kecenderungan politik,” katanya.
Menurut beliau lagi, pelaksanaan LPT3 bukan sahaja bakal mengurangkan kesesakan jalan sedia ada dan meningkatkan keselamatan pengguna, malah menjadi pemangkin kebangkitan ekonomi baharu Pantai Timur, khususnya dalam sektor pelancongan, logistik dan industri kecil.
“DPPNT menegaskan bahawa sudah tiba masanya suara rakyat Pantai Timur didengar dengan serius. Kelewatan demi kelewatan hanyalah memperlihatkan sikap sambil lewa kerajaan pusat terhadap pembangunan seimbang antara wilayah,” tegasnya.