Pemuda Bantu Urus Ziarah Pelajar UPSI ke Rumah Mangsa Kemalangan Maut

460

Oleh : Safwan

BESUT– Pemuda PAS Kawasan Besut telah tampil membantu menguruskan perjalanan seramai 66 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang datang ke daerah ini untuk menziarahi keluarga rakan-rakan mereka yang terlibat dalam kemalangan maut awal pagi Sabtu lalu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Besut, Ustaz Mukhlis bin Hassin, rombongan pelajar yang menaiki dua buah bas tersebut disambut dan dibahagikan kepada enam kumpulan sebelum dihantar ke beberapa lokasi ziarah menggunakan empat buah van dan dua buah kereta.

“Antara lokasi yang dilawati termasuklah Kampung Felda Tenang, Gong Duek, Telaga Nibong, Air Terjun, Padang Luas, Kerandang, Anak Ikan, Gong Bayor, Kampung Raja, Pasir Akar dan Tok Dor.

“Kami cuba pastikan semua pelajar dapat menziarahi rumah keluarga dan pusara sahabat mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di sini, pada semalam.

Sementara itu, Hilmi bin Hamdan, salah seorang sukarelawan yang memandu kenderaan, berkata beliau bersama beberapa pemandu lain mengiringi pelajar ke destinasi masing-masing, termasuk ke tanah perkuburan dan kediaman keluarga mangsa.

“Walaupun penat, kami rasa ini satu tanggungjawab untuk menyantuni mereka yang sedang bersedih. Ramai pelajar yang hadir ini merupakan rakan rapat mangsa,” ujarnya.

Ameerah Negeri Terengganu turut serta dalam usaha menyantuni pelajar UPSI dengan menyampaikan sumbangan sebelum rombongan berangkat pulang ke Tanjung Malim pada petang semalam.