KUALA TERENGGANU – Satu demi satu warisan sejarah negeri Terengganu telah hilang akibat pembangunan tidak terancang dan ‘semberono’ kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)Terengganu.
Antaranya, aktiviti ekonomi tradisonal orang Melayu membuat keris, mengukir perak dan menempa tembaga di kampung Ladang kini telah lenyap.
Terkini, keindahan dan nilai sejarah yang terdapat di Bukit Puteri, berdekatan Pasar Kedai Payang, di sini, bukan sahaja terjejas, bahkan dikhuatiri akan turut hilang selamanya.
Kewujudan Bazar Warisan yang disiapkan sembilan tahun lalu menjadikan ianya terlindung dan sukar diakses secara terbuka.
Bangunan yang dibina pada zaman Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh itu, menenggelamkan bukit yang mempunyai kepentingan sejarah negeri dan sektor pelancongan.
Bazar itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan bersejarah itu, bahkan pembinaannya dilereng bukit tersebut mengundang masalah keselamatan.
Bukit Puteri terletak berhampiran dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar, Kuala Terengganu memiliki keluasan lebih kurang 0.688 hektar dengan ketinggian lebih kurang 200 meter dari aras laut.
Menurut fakta Muzium negeri Terengganu, Bukit Puteri sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I di mana terdapat beberapa cerita tentang asal usul nama Bukit Puteri.
Cerita silam zaman berzaman mengisahkan Dato’ Bendahara Padang Saujana menghantar wakilnya Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan untuk memerintah Negeri Terengganu.
Ketika itu, bukit di muara sungai Terengganu itu sudah dikenali sebagai Bukit Puteri.
Sumber lain menceriterakan bahawa Bukit Puteri berasal dari nama Tok Raja Maha, Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri.
Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II, Sultan Muhamad I dan Sultan Umar, Bukit Puteri dijadikan sebagai kubu pertahanan semasa perang saudara.
Justeru itu diatas bukit itu terdapat beberapa monumen dan artifak bersejarah antaranya genta, meriam beranak, tiang bendera, rumah api, kubur Syed Yasin dan kubu pertahanan.
Pada zaman dahulu, terdapat banyak meriam di atas bukit itu dan mempunyai pelbagai nama antaranya Seri Jamlor, Seri Bueh, Seri Johor dan Laila Majnun.
Pada suatu kawasan terdapat dua meriam yang terdiri daripada yang kecil (anak) dan satu yang besar (ibu). Meriam ini dikenali dengan nama Meriam Beranak.
Malangnya kebanyakan meriam telah dibawa oleh tentera Jepun dan dipersembahkan kepada raja Siam.
Selain itu sebuah genta iaitu loceng besar yang dibuat pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1326H bersamaan 1908M turut di tempatkan di sini.
Ukuran lilitnya lebih kurang 228cm, tingginya 78cm diperbuat daripada tembaga kuning dan berat lebih kurang 175kg.
Menurut cerita yang didapati, genta ini pernah dibunyikan di hadapan Istana Maziah dalam satu istiadat.
Tukangnya ialah Wan Ali bin Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang yang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu.
Genta yang pertama dinamakan ‘Negara’ telah dibuat dalam masa pemerintahan Sultan Terengganu yang kesembilan iaitu Baginda Umar pada 17 Syaaban 1270 Hijrah bersamaan 15 Mei 1853.
Genta ditugaskan kepada ‘Budak Raja’ yang menjaganya dan pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (19 Disember 1881 – 25 November 1918M) ia dijaga oleh Ali bin Abdullah.
Tujuan genta ini untuk memberi amaran sesuatu ancaman yang melanda negeri seperti orang mengamuk, kebakaran atau musuh melanggar negeri.
Menurut adat negeri, apabila kedengaran bunyi genta yang tiada menentu dan pukulannya kencang maka sekalian penduduk bandar akan menutup pintu rumah dan kedai masing-masing. Pembesar-pembesar dan semua hamba sahaya berlari menuju istana.
Pada bulan puasa, genta dibunyikan menandakan telah hampir waktu berbuka.
Bagi menandakan waktu bersahur pula genta dibunyikan dengan kencang dan dituruti tembakan meriam satu das.
Tiang bendera di Bukit Puteri pula digunakan bagi menaikkan bendera apabila sesuatu istiadat diadakan di Istana Maziah.
Tiang yang mempunyai ketinggian lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter ini didirikan pada 12 Zulhijjah 1316 Hijrah bersamaan 22 April 1899 ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Tiang bendera ini didirikan masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942 ).
Rumah Api di atas Bukit Puteri amat penting dan berfungsi sebagai pedoman kepada para nelayan dan pelayar-pelayar memasuki pelabuhan Kuala Terengganu.
Kubu dibina oleh Baginda Umar ini diperbuat campuran madu, putih telur, batu bata, kapur tohor sebagai plaster.
Di bahagian dalam kubu ini pula terdapat sebuah pentas batu yang bertingkat (singgahsana), digunakan sebagai tempat sultan dan pembesar-pembesarnya mengadakan mesyuarat bagi mengatur strategi perang dan langkah-langkah yang perlu diambil ketika menghadapi serangan pihak musuh.
Semua kisah sejarah itu bakal dilupakan apabila kerajaan dibawah Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyerahkan pembinaan semula Bazar Warisan kepada syarikat negara Cina yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Wei Amber Group Sdn Bhd.
Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memajukan semula Kompleks Bazar Warisan dengan perbelanjaannya ditanggung syarikat terbabit dengan kos RM15 juta.
Ia akan menukar Bazar keseluruhan Bazar Warisan yang dibina dengan kos RM18.4 juta menjadi gerai makanan antarabangsa, restoran makanan halal Cina serta sebuah hotel bajet.
Laluan yang hanya sanya ada kini ke Bukit Puteri ‘terancam’ apabila pembangunan yang dirancang, dilaksanakan kelak.
Namun begitu, walaupun perjanjian telah ditandatangani Disember tahun lalu, sehingga kini, tiada lagi kerja-kerja pembangunan dilaksanakan.
‘Bisik-bisik kedengaran’ diantara peniaga sekitar Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan itu bahawa syarikat terbabit tidak boleh meneruskan pembinaan itu.
Antara halangannya ialah, tanah Bukit Puteri dilaporkan ‘bersekali’ dengan tanah Bazar Warisan yang menimbulkan masalah pemilikan.
Selain itu, dilaporkan bahawa, faktor keselamatan struktur bangunan Bazar sedia ada yang sudah berlarutan sejak ia dibina, merupakan sebab mengapa premis itu masih belum mendapat sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC).