Terengganu tidak boleh pergi jauh dalam saingan Liga Super tahun ini jika para pemain masih bersikap tidak profesional dan tidak berdisiplin dalam 90 minit permainan, kata jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim.
Beliau kecewa dengan persembahan anak buahnya yang tewas 1-4 di tangan Selangor, di laman sendiri malam tadi.
Katanya pemain Terengganu yang ketika ketinggalan 1-2 pada babak kedua ghairah mencari gol penyamaan, tetapi mengabaikan posisi pertahanan hingga skuad Red Giants pantas merebut peluang melakukan serangan balas dengan menyumbat dua gol lagi selang dua minit di saat akhir perlawanan (min-88 dan 90).
Abdul Rahman berkata Terengganu tidak sepatutnya kalah seteruk itu kerana Selangor ketika itu bermain dengan 10 orang, setelah seorang penyerangnya dilayangkan kad merah.
Terengganu kini menduduki tangga ketiga carta dengan 31 mata di belakang pendahulu liga, Selangor (37 mata) dan JDT (35 mata) setelah 18 perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Selangor menghadiahkan penyokong setia mereka yang hadir ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu tiga mata apabila menang besar menewaskan Terengganu, 4-1 dalam aksi Liga Super 2014 malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan Red Giants terus kekal menerajui liga dengan dengan kelebihan dua mata mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menewaskan Sime Darby 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Sementara itu, hampir 300 penyokong tegar Red Giants berkampung di gelanggang keramat skuad Peteh Ganu Peteh bagi memberi sokongan padu kepada Bunyamin Umar dan rakan yang bertandang menentang Terengganu.
Perlawanan ke-18 saingan Liga Super berlangsung sengit memandangkan pasukan kendalian Mehmet Durakovic dan Abdul Rahman Ibrahim berada dalam kedudukan tiga terbaik liga sebelum perlawanan mencabar kejuaraan liga.